Guan Eng: Sasaran Defisit 4.7 Dalam Belanjawan 2012 Terlalu Optimis



KUALA LUMPUR 11 OKT: Kejatuhan tiga mata di Bursa Saham Kuala Lumpur (BSKL) semalam memberi tamparan hebat terhadap Bajet 2012 yang baru dibentangkan Perdana Menteri minggu lalu.

Justeru pengurangan defisit fiskal negara yang dianggarkan menyusut kepada 4.7 peratus pada tahun hadapan mungkin terlalu optimis dan tidak akan berjaya dicapai menurut ahli parlimen Bagan, Lim Guan Eng.

Bercakap pada sidang media di lobi parlimen sebentar tadi, Ketua Menteri Pulau Pinang itu menyifatkan bajet kerajaan Barisan Nasional (BN) bukan dirungkai berdasarkan lebihan pendapatan negara, tambahnya defisit secara langsung akan menambah beban rakyat jangka masa panjang.

Jelasnya, kebimbangan itu disusuli dengan pengurangan sumber hasil negara yang tidak boleh ditambah.

"Kita beri ruang bajet lebihan, bukan bajet defisit. Saya rasa saham dan pakar ekonomi tidak yakin kerajaan BN dapat menangani cabaran ekonomi pada tahun hadapan," katanya.

Beliau mengambil contoh hutang Amerika Syarikat (AS) yang berpunca daripada krisis ekonomi global sehingga mencatatkan jumlah 6.2 peratus dari Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Jelasnya, berdasarkan defisit 5.4 daripada KDNK yang dicatatkan negara tahun ini, adalah tidak mustahil Malaysia akan berhadapan dengan krisis hutang yang tinggi seperti AS dan perkara ini sangat membimbangkan.

"Rakyat mahu tahu bagaimana untuk kurangkan defisit. Kita tidak mahu pinjaman yang diberikan kepada rakyat akan menjadi beban hutang," tambah Guan Eng.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dalam ucapan pembentangan Bajet 2012 Jumaat lalu mensasarkan pengurangan defisit negara sebanyak 0.7 peratus dari dari Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada tahun hadapan berbanding 5.4 peratus tahun ini.

Sehubungan dengan itu Guan Eng yakin bahawa bajet alternatif yang dibentangkan Pakatan Rakyat adalah lebih realistik seraya menjadi sandaran untuk masyarakat menikmati lebihan negara tanpa perlu khuatir tentang defisit.

Katanya keutamaan perlu diberikan terhadap pembanterasan rasuah yang dijangka memberi impak besar terhadap hasil negara.

"Untuk membendung perkara ini rasuah perlu dilawan. Tapi kita lihat dalam bajet, tidak ada usaha untuk menangani rasuah," ujar beliau lagi.