Azmin: Bajet 2012 Catat Kos Mengurus Paling Tinggi

KUALA LUMPUR 11 OKT: Ketidakupayaan kerajaan Barisan Nasional (BN) mengimbangi jumlah agihan Bajet 2012 antara perbelanjaan operasi dan pelaburan masa hadapan akan menyingkirkan kesan berganda yang diperlukan oleh ekonomi negara.

Ahli Parlimen Gombak yang juga Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali dalam ucapan perbahasan di parlimen hari ini memberi gambaran bahawa bajet yang dibentangkan Perdana Menteri Najib Razak bersifat hambar dan mengundang masalah kewangan negara masa hadapan.

Katanya, sektor pendidikan dan bioteknologi yang seharusnya diberi penekanan, gagal mendapat tempat dalam usaha menyediakan ruang menaiktaraf tenaga kerja profesional selain persedian menghadapi kekurangan sumber minyak asli dan gas.

Dalam ucapannya, Azmin menyatakan kepada Dewan Rakyat bahawa statistik pendapatan negara bagi tahun 2008, 2009, 2010 dan unjuran pendapatan negara bagi tahun 2011 disumbangkan melalui hasil petroleum.

"Daripada RM186 bilion pendapatan negara yang diunjurkan di dalam Belanjawan 2012, sumbangan dari sektor petroleum mencecah purata 40% iaitu RM74.4 bilion.

"Maka hipothesisnya, jika negara tidak mempunyai hasil petroleum, pendapatan sebenar negara dari semua aktiviti ekonomi yang lain hanyalah RM112 bilion, sedangkan perbelanjaan mengurus kerajaan adalah RM181 bilion," kata beliau yang dipetik dari teks ucapannya.

Berdasarkan pernyataannya kata Azmin, dapat dilihat bahawa daripada RM181 bilion yang diunjurkan, hanya RM52 bilion diperuntukkan untuk gaji pekerja dan RM129 bilion bagi tujuan kos operasi kerajaan.

Justeru Azmin menyifatkan Bajet 2012 yang mencatatkan perbelanjaan mengurus berjumlah RM181 bilion iaitu paling tinggi dalam sejarah negara berbanding RM51 bilion yang diperuntukkkan.

"Saya kesal kerana ada yang berhujah di dalam Dewan bahawa Belanjwan defisit yang besar dan hutang negara yang tinggi adalah perkara biasa kerana ia disebabkan faktor luaran," ujarnya lagi.

Azmin kemudian memberi contoh Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK9) di mana kerajaan ?telah memperuntukkan RM11.4 bilion untuk Dasar Jaminan Makanan bagi mengurangkan kebergantungan kepada import makanan.

Malah kata beliau peruntukan dari RMK8 berjumlah RM20 bilion telahpun dibelanjakan dalam tempoh 10 tahun.

Namun disebalik sejumlah besar wang yang telah dibelanjakan dalam tempoh itu, import makanan telah meningkat hingga sehingga mencecah RM30 bilion dalam tahun 2010 tersasar daripada jumlah yang dianggarkan iaitu RM14.3 bilion.

"Lebih membimbangkan apabila import makanan ini meningkat pada kadar 10.2% setiap tahun iaitu RM17.7 bilion (2005), RM26.7 bilion (2009) dan RM30 bilion (2010)," ujar beliau lagi.

Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan pada Jumaat lalu turut mengumumkan pelepasan cukai kepada pemaju hartanah bagi projek-projek di bawah program Kuala Lumpur International Financial District (KLIFD) yang dianggarkan berjumlah RM1.3 bilion.

Azmin juga menyentuh isu gaji minima yang telah disuarakan rakyat sejak empat dekat lalu, namun katanya setiap kali bajet negara dibentangkan, perkara tersebut tidak pernah menjadi keutamaan.

Maka jelasnya, ternyata kerajaan tidak menunjukkan sebarang komitmen untuk merealisasikan harapan masyarakat terbilang.

Sehubungan dengan itu kata Azmin, Pakatan Rakyat telah mencadangkan di dalam Belanjawan Pakatan Rakyat 2012 bahawa gaji minima boleh dilaksanakan pada aras RM1,100 kerana jumlah ini adalah jumlah purata yang munasabah untuk semua pekerja di seluruh negara.

Beliau kemudian menyatakan bahawa hutang negara telah mencecah kadar RM437 bilion pada akhir Jun 2011 sepertimana yang diumumkan Bank Negara Malaysia bersamaan dengan 53 peratus dari Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Maka beliau menjangkakan bahawa defisit yang berterusan antara tahun 2012 hingga 2015 akan mencatatkan jumlah melebihi 60 peratus KDNK sekaligus meletakkan negara pada tahap yang kritikal.

No comments: