Abdul Khalid Terus Teraju Selangor: Anwar

KUALA LUMPUR, 10 OKT : Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi sokongan penuh kepada Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebagai Menteri Besar Selangor dan tiada cadangan daripada pihak parti untuk menggantikan tempat Khalid.

Anwar berkata demikian kepada wartawan di lobi Parlimen apabila diaju pertanyaan mengenai kedudukan Khalid sebagai Menteri Besar Selangor.

“Ini dibangkitkan soal yang dilaporkan kononnya ada usaha untuk minta diganti Tan Sri Khalid ini. Ini cerita tahun pertama tentang cara pengurusan Tan Sri Khalid yang agak tegas dan sebagainya,”katanya.

Anwar tidak menolak menerima beberapa pandangan dikemukakan tetapi ia diselesaikan secara demokratik.

“Ahli-ahli boleh bantah, boleh minta cadangan, boleh minta ganti, baik ketua umum, presiden, menteri besar.

“Tetapi perkara ini telah diselesaikan dengan baik dan sekarang ni kita beri mandat penuh kepada Tan Sri Khalid sebagai Menteri Besar,”katanya.

Sebuah portal berita hari ini mendakwa PKR Selangor mahu Khalid diganti sebagai Menteri Besar setelah mendapat protes daripada sejumlah Adun PKR negeri itu.

No comments: