Anwar :Gaji MP Tidak Wajar Dinaikkan





KUALA LUMPUR 10 OKT: Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim berpendapat kini bukan masa yang sesuai untuk menerima cadangan kenaikan gaji ahli-ahli parlimen.

Ini kerana menurut beliau, berdasarkan pertumbuhan ekonomi negara yang lembab termasuk saranan gaji minima yang tidak dipersetujui kerajaan, maka tidak munasabah untuk Pakatan pembangkang mempertimbangkan perkara tersebut walaupun mendapat keluhan daripada ahli-ahli parlimen yang lain.

Namun katanya reaksi sepontan itu akan berubah sekiranya cadangan kenaikan elaun dikhususkan dalam pemberian faedah untuk kegunaan pejabat ahli parlimen dan pekerja.

"Apa yang dicadangkan (kepada parlimen) adalah pakej yang memberi faedah langsung kepada ahli parlimen yang jauh lebih tinggi dan saya rasa ini tidak boleh diterima.

"Saya tidak kata (kenaikan elaun) ahli parlimen tidak boleh dipertimbangkan tapi bukan masa ini sebab anda lihat orang diluar sana yang terbeban dengan harga barang dan keadaan hidup mereka serta kebanyakkan mereka kakitangan awam," kata beliau ketika ditemui media di lobi parlimen.

Di sebelah pagi, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Nazri Aziz pada sidang media berkata Putrajaya menarik balik rancangan untuk menaikkan saraan ahli-ahli Parlimen ekoran bantahan dilahirkan oleh wakil rakyat pembangkang.

Katanya beliau memutuskan untuk menarik balik peruntukan RM30 juta dalam Belanjawan 2012 selepas membaca pelbagai laporan bahawa ada wakil rakyat membantah cadangan menaikkan saraan mereka.

Sehubungan dengan itu Anwar menjelaskan sekiranya kerajaan tampil mengemukakan kertas cadangan baru yang boleh memberi faedah kepada keperluan aspek pentadbiran ahli parlimen, maka pembangkang bersedia untuk berbincang.


No comments: