Tiada Maaf Bagi Mu, PAS Beritahu Umno




SHAH ALAM 10 JUN : Kepimpinan Parti Islam SeMalaysia (PAS) menegaskan bahawa tiada keperluan untuk pihaknya memohon maaf kepada Umno berhubung prinsip perjuangan parti itu.
Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin semalam menuntut PAS meminta maaf kepada Umno kerana melemparkan pelbagai tuduhan, gelaran, termasuk melabelkan parti itu sebagai kafir kerana tidak memperjuangkan negara Islam.
Naib Presiden PAS, Sallahuddin Ayub berkata PAS akan terus memperjuangkan Negara Berkebajikan walaupun ia menimbulkan keresahan Umno yang khuathir pengaruhnya di kalangan pengundi Melayu akan terhakis lagi.
"Tidak ada isu mengapa PAS perlu minta maaf atas kenyataan itu dan kita akan terus dengan konsep ini dan kita akan jadikannya sebagai manifesto kami pada pilihan raya akan datang," tegasnya kepada Tv Selangor.
"PAS tiada sebab untuk minta maaf dengan UMNO kerana Pas tidak pernah lari daripada dasar perjuangan dan konsep gagasan negara berkebajikan ialah intipati daripada sebuah negara yang diidamkan oleh rakyat dan mengandungi prinsip-prinsip keadilan, kesaksamaan yang kita perjuangkan." tambah beliau.
Sallahuddin berkata tuntutan maaf oleh Khaled Nordin mencerminkan Umno semakin terdesak dan tidak memahami konsep negara berkebajikan yang di perjuangkan PAS serta Pakatan Rakyat.
"Saya rasa Umno terdesak, amat gentar, amat risau dengan kepimpinan baru PAS yang baru sahaja dipilih dalam muktamar minggu lepas dan mereka juga sangat tertekan dengan keupayaan PAS dalam menjayakan Negara Berkebajikan,” kata beliau.

" Saya rasa isu itu adalah isu yang dah ketinggalan zaman dan apa yang dihujahkan oleh Datuk Khaled Nordin itu saya ibaratkan sebagai musim kemarau yang panjang bagi Umno,” tambah beliau.
Sallahuddin berkata komen-komen pemimpin Umno menunjukkan mereka tidak dapat menerima keputusan pemilihan PAS sehingga sanggup menabur fitnah.
"Mereka sebenarnya sangat kecewa dengan kepimpinan baru PAS, mereka seperti orang yang hilang pemikiran serta panik dengan pemillihan itu dan sebab itu mereka membuat pelbagai tuduhan-tuduhan tidak berasas dengan kepimpinan barui yang ada pada hari ini.
Pesuruhjaya Pas Negeri Pahang, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata pimpinan UMNO-BN sepatutnya yang meminta maaf kepada seluruh rakyat Malaysia kerana menindas rakyat Malaysia dan mengabaikan kebajikan mereka sekian lama.
Jelasnya lagi, apa juga dasar yang dibawa dan diperjuangkan PAS tiada kaitan dengan UMNO-BN dan apa yang lebih penting ketika ini PAS mesti mengambil alih peranan UMNO untuk menjaga Islam dan rakyat di negara ini.
"Dasar Pas dan sebagainya tidak ada kena mengena dengan UMNO dan UMNO tidak perlu campur tangan dalam urusan parti PAS." tambahnya lagi.

No comments: