ALFATIHAH BUAT AMIRUL-MEOR YUSOFF AZIDDIN








Amirul sudah pergi meninggalkan kita. Saya mendapat sms dari seorang sahabat dekat, Syed pukul 9.25 malam tadi.

Tuhan itu lebih tahu tentang isi dan cerita setiap makhluknya. Apatah lagi untuk kita, ciptaannya yang paling istimewa. Istimewa kerana kita dizahirkan ke mukabumi ini untuk melengkapkan perjalanan cerita dan takdirnya. Kita tidak mampu mengubahnya walau sedetikpun juga.

Amirul Fakir(arwah)- Saya ada menulis beberapa siri tentang arwah sejak kami mula rapat bersahabat pada pertengahan 2007.

Sebenarnya saya mula mengenal arwah pada tahun 2001 lagi, waktu itu saya membuat persembahan di rumah Pena anjuran ‘angkatan 21′ yang mana arwah juga turut terlibat membuat persembahan pada malam itu.

Kami mula rapat sejak saya berpindah ke Ipoh pada tahun 2006. Sebelumnya saya memang mengenali Syed dan isterinya Hanim. Kamal Sabran pun saya kenal melalui mereka ni lah.

Tentang Amirul, kami agak rapat kerana bagi saya kami dalam kefahaman aliran yang sama. Mungkin dari segi jalan agak berbeza, tapi hala tuju kefahaman kita sama. Jadi kita boleh bersembang panjang dalam bab-bab kefalsafahan sambil bertukar-tukar pendapat.

Saya bersyukur kerana di mana-mana saya pergi, akan ada kawan yang sefaham dan sejalan. Mereka ada di mana-mana, jadi kita sama-sama meraikan kehendak jiwa kita.

Arwah menghisap rokok jenama ‘Saat’. Kami selau juga berjumpa sembang-sembang di restoran Saro Maju yang terletak di Meru Permai.
Sayang, sayang sekali apa yang kami rancang tidak selalunya berjalan seperti yang dirancang.

Persamaan atau boleh juga saya kata masaalah saya dengan arwah ni satu je. Kami waktu itu lebih mementingkan kehendak jiwa. Kehendak jiwa kita ni bukannya komersial sangat. Arwah pernah menghasilkan buku sajaknya ‘fosil’ dan novel ‘Mea Culpa’. Ke dua-duanya sangat berat untuk umum, bagi sayalah. Begitu juga dengan saya, terlalu meraikan apa yang jiwa saya mahu. Yang saya mahu itu bukannya semua orang suka. Jadi kelompok kami ni ada, tapi minoriti lah. Pun kami tetap enjoy meraikan hidup ini.

Tak lama selepas itu Amirul mendapat peluang berniaga menjual buku terpakai di Super Kinta. Saya pun tumpang suka juga waktu itu. Sempatlah saya dan keluarga berkunjung ke kedai arwah membeli buku-buku yang dijual di kedainya.

Agak lama selepas itu saya berminat untuk menghasilkan album bersama arwah. Dengan pertolongan kawan-kawan dekat, Kamal Sabran, Syed dan Hanim kami dapat menyiapkan album ‘Sakrat’(sakratul maut). Semua sajak arwah saya lagukan. Semua lagu arwah yang luluskan. Saya hanyalah penyampai hasrat beliau. Kami keraplah bertemu waktu itu.

Album itu mendapat liputan yang baik dalam akhbar ‘star’. Saya masih simpan keratan tersebut. Saya pun tak tahu apa istimewanya sajak-sajak Amirul, cuma gerak hati saya kuat untuk melakukan album bersama beliau.

Bagi saya arwah adalah seniman sejati. Sayang kehadirannya di dalam dunia kesusasteraan kurang diraikan rakan seperjuangannya semasa arwah hidup. Dah sakit dan nak mati barulah semua datang menjenguk.
Dalam bab itu saya kecewalah juga, tapi inilah kehidupan.

Saya pulak tidak pernah kaya dalam berkarya dalam muzik. Jadi apa yang saya janjikan hanyalah mimpi yang realistik sifatnya.

Bila album dilancarkan di Bau-bau cafe milik Hishamuddin Rais yang terletak di Pasar Seni awal 2008, saya tulislah dalam blog meraikan album tersebut. Sempatlah arwah menonton persembahan saya 2-3 kali sebelum beliau mendapat penyakit.

Sudahnya penyakit arwah semakin kritikal dan banyak yang kita rancang tersangkut di tengah jalan.

2009 saya terpaksa pulang ke Kuala Lumpur kerana banyak sangat masalah di Perak waktu itu. Projek-projek kerja pun tersangkut dan terbatal.

Pun saya tuliskan juga di dalam blog hasrat untuk menjayakan satu program untuk membantu arwah. Pun orang kuatnya itulah, kawan-kawan dekat juga Kamal Sabran, Syed dan Hanim. Mereka inilah yang patut kita salut kerana bekerja kuat untuk seorang sahabat.

Selepas itu sejak 2009 saya tidak sempat bertemu arwah sehinggalah tadi saya dikejutkan dengan sms dari Syed yang katanya.

‘Bro, Amirul Fakir kembali ke rahmatullah pukul 7.40 petang tadi. Semoga Allah mencucuri rahmat ke atasnya, dan semoga kita pun beringat sama- Al fatihah untuk arwah..

Al-fatihah

No comments: