Mahfuz : Sayap Ulama Umno Hanya Retorik


SHAH ALAM 11 JUN : Cadangan pengarang Utusan Malaysia, Zaini Hassan supaya parti pemerintah menubuhkan sayap ulama Umno bagi mengembalikan sokongan pengundi Melayu Islam yang kononnya hilang keyakinan terhadap PAS dilihat bersifat retorik semata-mata.

Naib presiden PAS, Mahfuz Omar berkata, selama ini kerajaan Umno-Barisan Nasional hanya menggunakan institusi agama untuk menghalalkan setiap tindakan mereka
dan bukannya atas tujuan menjaga kebajikan rakyat.

"Pertamanya kegagalan ulama-ulama dalam Umno melalui biro agama Umno telah (berlaku sejak sekian lama), yang keduanya institusi agama di bawah kerajaan gagal
memberikan imej yang baik tetapi akhirnya diperalatkan untuk mengeluarkan kenyataan bagi kepentingan politik Umno-BN,"kata Mahfuz kepada Tv Selangor.

Mahfuz yang juga ahli parlimen Pokok Sena berkata demikian bagi mengulas ruangan kolumnis Utusan Malaysia semalam yang bertajuk "PAS hilang arah: Sayap Ulama Umno harus ditubuh segera".

Zaini merupakan penulis sama yang mencadangkan supaya Perdana Menteri Malaysia melancarkan Gerakan 1 Melayu, 1 Bumi ekoran kemenangan DAP di 12 daripada 15
kerusi yang ditandingi parti itu pada pilihan raya negeri sarawak April lalu.

 Dalam ruangan yang diberikan nama 'Cuit' itu, Zaini berkata muktamar PAS baru-baru ini menunjukkan PAS mengorbankan dasar mereka dan mengikut telunjuk Parti DAP dan PKR semata-mata mahu memastikan matlamat Pakatan Rakyat ke Putrajaya tercapai.

Berbalik kepada isu sayap ulama Umno, menurut Zaini kesedaran rakyat tentang perjuangan PAS yang kian kendur adalah baik untuk Umno menggunakan peluang yang terbuka ini untuk mendapatkan sokongan Melayu.

 Bagaimanapun, Zaini nampaknya lupa bagaimana institusi Islam tajaan Umno mengenepikan prinsip Islam sebenar hingga mengakibatkan rakyat mulai jelek dengan kepimpinan kerajaan.

Perkara ini dapat dibuktikan apabila institusi agama di bawah kerajaan tidak mampu menjalankan tanggungjawab mereka berhubung laporan qazaf ke atas trio "Datuk T" kerana menuduh Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim melakukan zina.

Walaupun hal itu telah diadukan kepada Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), namun ironinya undang-undang syariah Islam seolah-olah tidak diiktiraf, apatah lagi apabila ia melibatkan Ketua Pembangkang Parlimen Malaysia.

Menurut Mahfuz, cadangan wartawan kanan media milikan Umno itu hakikatnya turut menggambarkan kegusaran Umno bahawa kemungkinan undi masyarakat Melayu terus memihak kepada Pakatan Rakyat melalui dasar baru PAS yang mahu membangun Negara Berkebajikan selaras dengan program Buku Jingga.

"Mereka sangat bimbang bahawa orang Melayu akan kembali bersama dengan PAS dan mereka bimbang bahawa PAS mampu melakukan 'swing' undi daripada kalangan Melayu dan inilah yang dibimbangi oleh Umno selama ini dan mereka sedang mencari bagaimana nak mengelak daripada 5 ataupun 7 peratus undi Melayu itu terus pergi kepada PAS atau PR,"katanya.



No comments: