PR Anjur 'Siri Jelajah' Perjelas Fitnah



KLANG 4 MEI : Angkatan Muda Keadilan (AMK) akan menganjurkan program Jelajah Maruah Muafakat Rakyat Anti Politik Fitnah dan Lucah serta Jelajah Selangor Tawan Malaysia di Markas PAS, Taman Telok Gedung Indah, Pelabuhan Klang, Sabtu ini.


Program tersebut dijalankan dengan kerjasama Parti Keadilan Rakyat (PKR), DAP dan PAS Klang bagi memberi maklumat dan kesedaran kepada masyarakat berhubung perkembangan politik negara serta menyangkal segala dakwaan Barisan Nasional (BN) berhubung fitnah liwat dan fitnah video seks yang cuba dikaitkan dengan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.


Naib Ketua AMK, Azmizam Zaman Huri berkata kedua- dua program itu diadakan supaya masyarakat mendapat maklumat secara terus dan sahih daripada Pakatan Rakyat.


“Kita mulakannya di Parlimen Klang di mana dalam program ini kita akan menjemput penceramah-penceramah seperti Datuk Seri Anwar Ibrahim yang akan menerangkan dan juga menjawab isu-isu semasa terutamanya macam kes video.


Siri jelajah itu juga bakal menjelaskan kepada rakyat mengenai matlamat Pakatan Rakyat mahu mengambilalih pentadbiran negara dengan sasaran awal, menawan enam kawasan Parlimen di Selangor iaitu Tanjung Karang, Sabak Bernam, Sungai Besar, Hulu Selangor, Sepang dan Pandan.


Selain itu, rakyat akan dibekalkan dengan perincian kejayaan Pakatan Rakyat mentadbir Selangor termasuk kecemerlangan program Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES).


“Dalam masa yang sama juga kita tanpa henti akan memperkenalkan Buku Jingga Ubah Sekarang Selamatkan Malaysia dan juga kita akan terangkan kejayaan-kejayaan yang dicapai dalam program Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES),” katanya dalam sidang media di sini hari ini.


AMK menjangkakan siri jelajah itu bakal mendapat sambutan rakyat berikutan panel yang terlibat cukup disegani termasuklah Ketua Umum PKR, Anwar Ibrahim; Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali; Ahli Parlimen Kota Raja, Dr Siti Mariah Mahmud.


Turut serta adalah Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago; ADUN Sri Andalas,Dr Xavier Jayakumar; ADUN Sri Muda, Shuhaimi Shafie dan Ketua AMK, Shamsul Iskandar Mat Akin.

No comments: