IGP Dituntut Buat Permohonan Maaf




KUALA LUMPUR 5 MEI : Setiausaha Agung Parti Sosialis Malaysia (PSM) S Arutchelvan hari ini menghantar memorandum kepada Tan Sri Ismail Omar menuntut Ketua Polis Negara itu memohon maaf secara terbuka.

Ini kerana dakwanya, pihak polis melakukan kesilapan berhubung penahanannya pada Hari Pekerja 1 Mei lalu.

Hal itu berlaku susulan beliau ditahan semula pada hari tersebut kerana didakwa terlibat dalam satu kesalahan kecurian di bawah seksyen 380 Kanun Acara Jenayah yang dikatakan berlaku di Alor Star pada 1995 - 16 tahun lalu.

Susulan itu beliau diarahkan memberi keterangan berhubung perkara tersebut di ibu pejabat polis daerah Kota Setar pada 7 Mei ini.

Dalam memorandumnya hari ini, Arutchelvan mendakwa pegawai penyiasat yang dikenali Inspektor Shamsul menghubunginya dan memaklumkan bahawa beliau tidak perlu hadir ke IPD itu kerana terdapat kesilapan merekodkan nombor kad pengenalan lama beliau.

"Pada hal orang sebenarnya adalah seorang beretnik Melayu dengan nombor kad pengenalan yang sama tanpa huruf A dalam kad pengenalan.

"Inspektor Shamsul meminta maaf atas kesilapan ini yang dilakukan oleh orang lain yang menurutnya adalah kesilapan manusia," memorandum itu dipetik.

Menurut memorandum itu lagi, pegawai polis tersebut juga berjanji akan mengeluarkan nama aktivis pekerja itu daripada senarai orang yang dikehendaki atau "wanted list".

Memorandum yang disediakan oleh Jawatankuasa 1 Mei mendakwa penahanan Arutchelvan untuk menyabitkan beliau dengan kes kecurian "amat tidak masuk akal dan merupakan satu tindakan fitnah dan berniat jahat".

"Beliau juga pernah ditahan puluhan kali dalam kes-kes kepentingan rakyat marhaen dan isu-isu hak asasi manusia. Justeru, bagaimana sepanjang 16 tahun dari 1995 dan 2011, beliau tidak dapat dikesan polis," memorandum itu dipetik.

Sebelum itu bercakap kepada pemberita, Arutchelvan berkata beliau turut menghantar surat kepada Ketua Polis Daerah Kota Setar meminta supaya surat jaminannya dibatalkan. Tuntutan itu juga terkandung dalam memorandum tersebut.

"Saya minta mereka memberi surat secara hitam putih... (Ini kerana) ia tidak ada kena mengena dengan saya.

"Bagi saya ini adalah (perkara yang) merosakkan nama saya. Ini menjejaskan nama saya," katanya yang juga anggota Majlis Perbandaran Kajang dan aktivis Suaram.

Salinan surat itu juga turut dihantar kepada Ismail, ketua polis daerah Dang Wangi serta Majlis Peguam Negara.

Selepas sidang media itu, Arutchelvan menyerahkan memorandum berhubung kes kecurian yang dikaitkan dengannya itu kepada seorang pegawai polis dari bahagian perhubungan awam Bukit Aman untuk dimajukan kepada Ismail.

Kira-kira 20 aktivis PSM termasuk ahli parlimen Sungai Siput Dr D Jeyakumar dan tiga peguam - Datuk S Ambiga, N Surendran dan Fadiah Nadwa Fikri - hadir memberi sokongan kepada Arurchelvan.