Aku masih menanti-nanti peluang untuk melawat Istanbul. Karya-karya pemenang Hadiah Nobel Sastera 2006 Orhan Pamuk banyak mengisi imaginasiku berkaitan Istanbul semasa otak durianku menelusuri minda dan keindahan bahasa penulis berlatar belakangkan metafora salji dan perasaan kesayuan (melancholy) yang mengisi segenap pelosok kota. Kali pertama aku merasai keheningan salji juga merupakan kali pertama aku menjejakkan kaki ke atas bumi China. Aku berkesempatan menjamu makanan yang digemari para muslimin dan muslimah di China atau lebih dikenali sebagai Cina Muslim oleh masyarakat Cina di Malaysia. Kalau di Malaysia populasi Cina Muslim dianggap tidak signifikan, umat Islam di China pula melebihi 130 juta orang, jauh lebih besar daripada keseluruhan populasi umat Islam di Malaysia.
Sambutan rasmi rombongan Wen Jiabao oleh Kerajaan Najib cukup memalukan rakyat Malaysia dan menjadikan Malaysia bahan ketawa khususnya dalam kalangan masyarakat Tionghua serantau apabila kesilapan penterjemahan Bahasa Melayu kepada Bahasa Cina yang serius dikesan dan dilaporkan akhbar tempatan dan antarabangsa, seolah-olah tiada seorang pun dalam kalangan pegawai Kerajaan Najib yang fasih kedua-dua Bahasa Melayu dan Bahasa Cina, sedangkan kerajaan ini jugalah yang giat dari segi retorik sumbangan masyarakat Cina dan kepentingan mempelajari Bahasa Cina.
Berlatar belakangkan isu kesilapan ayat yang memalukan, Malaysia dan China bersetuju bekerjasama lebih rapat dalam beberapa bidang khususnya bidang pengajian tinggi. Lebih ironis lagi, Wen Jiabao kagum dengan usaha Malaysia menubuhkan Institut Pengajian China dan Institut Kong Zi yang antara bidang kajiannya merangkumi aspek bahasa, budaya dan tamadun.
Otak durianku merasa hairan. Mengapakah dalam abad ke-21 pasca 8 Mac 2008, pemimpin negara seperti Najib masih mengharapkan lawatan pemimpin negara China dapat ditransformasi kepada propaganda media untuk mempengaruhi minda "Cina Malaysia" sehingga dilafazkan komen menyokong 1Malaysia oleh Wen Jiabao yang begitu menjijikkan? Apakah dengan berbuat demikian, Kerajaan Najib berharap dapat menyentuh hati dan sentimen primordial "Cina Malaysia", lantas memberikan undi kepada calon-calon Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya umum akan datang (PRU Ke-13)? Apakah dengan ini Cina Malaysia akan melupakan retorik "1Malaysia" - sesungguhnya gagasan ini ditafsir oleh sesetengah mentaliti rasis sebagai "Cina Malaysia" pulang ke China, dan "Melayu Malaysia" pulang ke pangkuan UMNO - jikalau mengikut agenda Utusan Malaysia. Atau, apakah dengan berbuat demikian, Kerajaan Najib berharap "Cina Malaysia" akan menjadi "lebih China" dan "kurang Malaysia", lantas meninggalkan Malaysia dan tidak lagi menyumbang kepada undi Pakatan Rakyat?
Sesungguhnya, bermula dengan lawatan dan pelafazan 1Malaysia oleh Wen Jiabao sehinggalah liputan meluas oleh akhbar Cina, apa yang berlaku sekadar bayangan tidak realistik yang menjadi mimpi pemimpin negara dan sesetengah pengarang akhbar tempatan. Dalam kalangan masyarakat Cina khususnya golongan yang menggelar diri sebagai "pemimpin masyarakat Cina" dan pengarang senior akhbar Cina, agak ramai dalam kalangan mereka yang pada satu ketika dahulu mendokong ideologi kiri. Golongan tersebut yang rata-rata berusia lebih daripada 50 tahun kini lebih dikenali sebagai "old left" dan telah menduduki posisi strategi untuk mempengaruhi liputan sesuatu isu oleh akhbar Cina, seolah-olah kebangkitan China dapat meningkatkan martabat dan maruah "Cina Malaysia" dan Cina sedunia. Yang wajar dibangkitkan di sini ialah, golongan bergelar "pemimpin masyarakat Cina" juga terdiri daripada mereka yang mempunyai kepentingan perniagaan dan perdagangan di China. Maka tradisi liputan meluas setiap kali pemimpin negara dari China melawat Malaysia, bersekali dengan komen positif "pemimpin masyarakat Cina" yang kononnya mewakili masyarakat Cina dan mempunyai pengaruh terhadap masyarakat Cina, diharapkan dapat menjalin hubungan baik dengan pemimpin-pemimpin China dan pihak berkepentingan di China. Namun, hakikat yang jarang-jarang sekali dibicarakan adalah, bukan sahaja komponen parti BN seperti MCA, SUPP dan Gerakan kehilangan pengaruh terhadap masyarakat Cina, golongan yang bergelar "pemimpin masyarakat Cina" termasuk pemimpin persatuan-persatuan Cina (Huatuan) juga kehilangan pengaruh terhadap masyarakat Cina! Sebab itu, selepas MCA "kalah sehingga tinggal seluar dalam" semasa PRU Ke-12 (analogi seorang penganalisa politik terkenal masyarakat Cina Phoon Wing Keong), Najib yang tercari-cari golongan berpengaruh melalui strategi "status keahlian terus BN" bakal menemui kegagalan dari segi propaganda politik yang dapat "mentransformasi" undi masyarakat Cina.
Cina Malaysia hari ini mempunyai tuntutan yang sama dengan India Malaysia, Iban Malaysia, Kadazan Malaysia dan etnik Malaysia yang lain, kami mahukan dasar kerajaan dan pelaksanaan yang saksama berlandaskan konsep keadilan, bukan dasar berat sebelah, bukan juga retorik 1Melayu 1Bumi bertopengkan 1Malaysia. Aku rindu akan keheningan salji di China. Namun aku lebih disentuh oleh perasaan kesayuan yang mengisi segenap pelosok Malaysia sekembaliku ke tanah air. Aku percaya, PRU Ke-13 akan mengubah landskap politik yang bakal dicorakkan oleh politik keadilan, bukan politik perkauman dan politik kebangkitan China. Pasti bukan politik 1Malaysia yang penuh dengan retorik dan ciri-ciri rasis! *Ooi Heng ialah Pengarah Eksekutif Kajian Politik untuk Perubahan (KPRU) dan kolumnis MerdekaReview. |
Mampukah pemimpin China pengaruhi Cina sokong 1Malaysia?
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment