Eskay : Saya Tidak Tuduh Anwar
















KEPONG 4 MEI : Ahli perniagaan Datuk Shazryl Eskay hari ini menafikan beliau menuduh Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim berzina – pengakuan yang bercanggah sama sekali dengan dakwaan beliau sebelum ini.



Setelah lantang menuduh Anwar sebagai pelaku dalam rakaman video seks yang disebarkan menerusi Internet dan risalah di seluruh negara, Eskay menafikan membuat dakwaan sebegitu.



“Saya tidak pernah menuduh Anwar berzina. Bila saya tuduh dia berzina? Soal dia zina atau tidak berzina tidak ada kena mengena dengan saya, kata Eskay selepas memberi kenyataan kepada Polis Kepong petang semalam.



Dalam membuat penafian itu, Eskay cuba meletakkan beban fitnah kononnya Anwar adalah pelaku dalam video itu di atas bahu wartawan.


Eskay berkata beliau menjemput wartawan terpilih untuk menonton video itu di Hotel Carcosa pada 21 Mac lalu kerana mahukan mereka membuat penilaian sama ada pelaku dalam rakaman itu adalah Anwar.



“Saya menghubungi wartawan untuk tanya sama ada orang dalam rakaman itu adalah Anwar, itu sahaja. Anda yang paling rapat dengan dia, selalu mewawancara dia,” kata Eskay kepada pemberita yang kelihatan tercegang dengan kenyataan beliau.



Anwar sebelum ini membuat laporan polis terhadap Eskay, bekas Ketua Menteri Melaka Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik dan bekas Bendahari Perkasa Shuib Lazim kerana menfitnah beliau bersabit rakaman 21 minit itu.



Gandingan Datuk T itu telah mengugut untuk menyebarkan video itu kepada rakyat jika Anwar dan isterinya Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail tidak berundur dari politik dalam tempoh seminggu.



Apabila Anwar enggan tunduk kepada tekanan itu, video itu dimuatnaikkan ke Internet .


Pada sidang media berkenaan, Eskay turut ditanya kenapa rakaman video lucah itu tidak menunjukkan pelacur berkenaan mencuri jam Omega pelaku sebagaimana yang di dakwa oleh ahli perniagaan itu.



“Saya tak tahu…saya tidak perhatikan benda-benda ini,” kata Eskay.