Pemotongan Subsidi : KJ Tak Perlu Bersandiwara, Kata Saifuddin




PETALING JAYA 23 MEI : Muslihat Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin yang ingin meraih populariti menjelang Pilihan Raya Umum ke-13 dengan menggesa kerajaan untuk tidak menaikkan harga petrol RON95, gagal meraih perhatian umum, sebaliknya hanya menjatuhkan kredibiliti beliau.

Apatah lagi hujah ahli parlimen Rembau itu pantas dibidas oleh Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution Ismail yang membawa kembali ingatan Khairy pada skrip yang pernah dilaungkan beliau pada sidang parlimen 2008 ketika bapa mentuanya, Abdullah Badawi masih menjawat jawatan Perdana Menteri.

Katanya, adalah mustahil sekiranya pendirian Khairy berubah hanya dalam tempoh tiga tahun

"Dalam ucapan tersebut, Khairy direkod hansard sebagai berkata, "walaupun pahit dan mengundang pelbagai reaksi negatif rakyat jelata, (namun) keputusan kerajaan menstrukturkan (menarik balik) subsidi merupakan satu keperluan ekonomi yang tidak dapat dielakkan".

"Beliau juga berkata dengan menaikkan harga minyak dan harga barangan keperluan, kerajaan membuat keputusan yang bertanggungjawab, beramanah dan jauh memandang ke hadapan,"kata Saifuddin.

"Beliau menambah, walaupun rakyat terpaksa memikul beban hari ini, penstrukturan semula subsidi ini membawa sistem yang lebih adil dengan subsidi yang progresif,"tambahnya lagi dalam satu kenyataan media.

Ucapan Khairy itu pada 23 Jun 2008 ketika membahaskan usul kenaikan harga petrol dan barangan yang dikemukakan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna.

Lantaran itu, Saifuddin yang juga ahli parlimen Machang mempersoalkan tindakan Khairy selaku pemimpin utama parti Umno yang tidak berpegang kepada prinsip asal beliau.

"Kenapa ketika bapa mertuanya menjadi Perdana Menteri, Khairy menyokong penarikan subsidi dan kenaikan harga barang, sedangkan ketika Datuk Seri Najib Tun Razak menjadi Perdana Menteri, Khairy terpaksa meminjam hujah Pakatan Rakyat yang konsisten menentang kenaikan harga barang dan penarikan subsidi kepada rakyat?,"soal Saifuddin.

Justeru itu beliau menyeru Khairy agar tidak memperbodoh-bodohkan rakyat dengan hujah dangkalnya hanya untuk meraih populariti menjelang pilihan raya umum.

Khairy pada 16 Mei lalu melahirkan kegusarannya dan menggesa kerajaan tidak menaikkan harga minyak RON95 dan menyeru agar tindakan ke arah penjimatan bestari dan penerokaaan usaha bagi meningkatkan nilai aset dan hasil dilaksanakan terlebih dahulu demi memastikan kebajikan dan kepentingan rakyat semua.

No comments: