Rais : RTM Bukan Untuk Pembangkang




KUALA LUMPUR 23 MEI : Kerajaan Umno-Barisan Nasional hari ini membayangkan ia tidak akan mencontohi Singapura dalam memberi ruang televisyen untuk membolehkan pembangkang mengemukakan pendirian bersabit isu-isu nasional menjelang pilihanraya umum akan datang.

Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Rais Yatim berkata RTM adalah “stesen penyiar rasmi kerajaan” dan hanya berita-berita yang disifatkan boleh membantu ke arah “pembangunan masyarakat” akan diberikan liputan.

Rais ditanya sama ada kerajaan akan mengikut jejak pemerintah Singapura yang mencatat sejarah apabila membenarkan pembangkang mengemukakan pelan tindakan mereka bagi rakyat negara itu semasa pilihanraya umum awal bulan ini.

Langkah itu membantu rakyat Singapura membuat pertimbangan yang lebih seimbang mengenai manifesto kerajaan pimpinan Parti Tindakan Rakyat (PAP) dan pembangkang.

Walaupun PAP mengekalkan kuasa, pembangkang yang diterajui oleh Parti Pekerja menang enam kerusi dan meraih 40 peratus daripada dua juta undi - pencapaian terbaik bagi pembangkang dalam sejarah republik itu.

Rais berkata beliau tidak akan terpengaruh dengan gesaan pihak tertentu mahukan pembangkang diberi ruang telivisyen bagi membolehkan rakyat membuat pilihan secara bijak semasa pilihanraya umum.

" Barang siapa pun boleh beri pandangan tetapi jangan lupa bahawa RTM adalah stesen kerajaan dan bina negara tetap menjadi penghulunya,” kata Rais.

" Jadi sekarang ini bahagian berita dan hal ehwal semasa (RTM) perlu melihat secara objektif tetapi tidak lari daripada RTM sebagai penyiar rasmi kerajaan,” tambah beliau.

Setakat ini rakyat Malaysia hanya sekali berpeluang menonton perbahasan antara kerajaan dan parti pembangkang yang disiarkan secara langsung TV9, Astro dan Bernama TV.

Debat itu menyaksikan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim berbahas dengan Menteri Penerangan ketika itu Shabery Chik mengenai isu-isu ekonomi dan pengurusan kewangan negara.

Perbahasan itu direstui oleh Perdana Menteri ketika itu Tun Abdullah Badawi dan dilihat sebagai permulaan siri forum untuk mematangkan demokrasi di negara ini.

Namun pengganti Abdullah, Najib dilihat menutup ruang itu apabila menggantikan Abdullah kira-kira setahun selepas perbahasan itu.

Najib juga enggan menyahut cabaran Anwar untuk berbahas mengenai Buku Jingga iaitu Pelan Tindakan Pakatan Rakyat sekiranya ia diberi mandat untuk menubuhkan kerajaan Persekutuan.

Di Malaysia, media arus perdana termasuk RTM, TV3 dan Utusan Malaysia adalah milik penuh atau pun di kawal oleh kerajaan Umno-BN.

Perlantikan-perlantikan kanan seperti Ketua Pengarang Utusan dan Tv3 adalah tertakluk kepada persetujuan pejabat Perdana Menteri.

Presiden Kesatuan Wartawan Kebangsaan Hatta Wahari berkata kerajaan harus mempunyai kematangan untuk melonggarkan kawalannya ke atas media negara ini.

" Di Singapura kita lihat media yang dikawal kerajaan mula memberikan ruang kepada kerajaan dan kita lihat ini sesuatu yang positif,” kata Hatta.

“Malangnya di Malaysia media masih dikawal oleh kerajaan. Mereka tidak mengikut trend dunia yang menyaksikan semakin banyak kerajaan-kerajaan bebas memberikan ruang kepada semua pihak,” tambah beliau.

Hatta yang dipecat oleh Utusan kerana dilihat sebagai lantang memperjuangkan kebebasan media, menegaskan keengganan kerajaan mengubah dasar-dasar medianya adalah “janggal dan ketinggalan zaman”.

“Rakyat sudah lama bosan dengan sikap “double standard” kerajaan dan menyimpan rasa tidak puas hati termasuk golongan wartawan sendiri. Kerajaan BN enggan mendengar luahan rakyat dan jika sikap ini diteruskan maka akan mengundang reaksi negatif terhadap kerajaan,” kata beliau.

No comments: