Undi PR Untuk Iklim Perniagaan Yang Adil, Kata Anwar





SANDAKAN 23 MEI: Pakatan Rakyat menjanjikan iklim perniagaan sihat yang bebas daripada syarikat kroni yang merampas tender dan kontrak lumayan daripada syarikat-syarikat yang jauh lebih berkeupayaan, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim

Anwar berkata masa sudah tiba untuk memastikan negara tidak lagi dibelenggui dengan rasuah yang semakin memberi tekanan kepada sumber kewangan negara.

Beliau berkata amalan syarikat kroni Umno-BN masuk tender untuk projek awam, sekali gus menafikan peluang syarikat-syarikat lain harus ditamatkan.

"Apa persamaan mereka semua? Mereka tidak bersaing mendapatkan kontrak dengan syarikat lain. Ini pemimpin (BN) yang ada kepentingan dalam syarikat bertanding dengan syarikat swasta. Tentunya dia menang (dapat kontrak)," kata Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat itu.

Berucap dalam majlis makan malam bersama Parti Keadilan Rakyat (PKR) di Sandakan semalam, Anwar yang juga Ketua Pembangkang menjanjikan kepimpinan yang lebih amanah jika Pakatan Rakyat menerajui negara.

Beliau turut memberi amaran akan menggugurkan mana-mana pemimpin Pakatan Rakyat yang merelakan rasuah dan penyelewengan berlaku terutama di Selangor, Penang, Kedah dan Kelantan.

"Kalau ada Ketua Menteri atau Menteri Besar Pakatan Rakyat curi, serta merta akan gugurkan.

Bercakap di hadapan tiga ribu hadirin pada majlis itu, Anwar yang juga Penasihat Ekonomi Selangor turut menghuraikan program Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES) yang memberi banyak manfaat kepada penduduk negeri berkenaan.

Anwar berkata perkara tersebut turut akan berlaku di negeri Sabah sekiranya rakyat memberi mandat kepada kerajaan Pakatan Rakyat pada Pilihan Raya Umum akan datang.

Beliau berkata MES berpaksi kepada mengembalikan hasil negeri kepada rakyat menerusi pemberian air percuma, pinjaman perniagaan tanpa faedah, tuisen percuma, biasiswa dan simpanan untuk anak negeri itu serta lain-lain program.

"Baru-baru in kita umum bahawa di semua bangunan rumah pangsa dan murah akan dicat semula serta dibaiki tingkap dan lif. Kita juga tambah tempat permainan untuk keluarga, parkir lebih banyak dan kita buat kesemuanya di Selangor. Ini semua kita guna a guna dana negeri sebab kita pentingkan rakyat," jelas beliau lagi.

Anwar kemudian menyeru masyarakat Sandakan yang ramainya terdiri daripada kaum Cina supaya menggunakan kebijaksanaan seraya memberi sokogan kepada parti itu memulihkan sistem pentadbiran negara yang diwarnai dengan rasuah dan pemborosan

"Jadi saya merayu kepada saudara di Sandakan ini bagi sokongan (kepada PR) sebab kita tidak ada pilihan. Negara ini mengalami penurunan, politik dan ekonomi. Jadi mari selesaikan perkara ini. Guna kebijaksanaan dan perkuatkan Pakatan Rakyat,” kata Anwar.

No comments: