Tian Chua Kekal MP Batu




PETALING JAYA 24 MEI : Ahli parlimen Batu Tian Chua menegaskan beliau kekal sebagai ahli parlimen walaupun Mahkamah Rayuan menolak permohonan beliau.

Tian menyatakan permohonan beliau di Mahkamah Rayuan itu langsung tidak menyentuh status beliau kerana keputusan Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Ghazali Cha sebelum ini adalah jelas dan bersandarkan autoritinya untuk mengelakkan pilihan raya kecil berlaku dan status ahli parlimennya dilucut.

"Apa yang hakim Mahkamah (Tinggi) lakukan (sebelum ini) ialah kurangkan denda RM 3000 kepada RM 2000 dan tolak 6 bulan penjara dengan berikan tulisan bahawa niat beliau ialah untuk tidak adakan pilihan raya kecil kerana ikut pemahaman beliau hukuman (lucut status) adalah RM 2000 ke atas," kata Tian Chua dalam sidang media di Ibu Pejabat PKR di sini hari ini.

29 Jun lalu, Ghazali mengenakan denda RM2,000 terhadap wakil rakyat daripada Parti Keadilan Rakyat itu selepas mengetepikan hukuman penjara enam bulan dan denda RM3,000 yang dikenakan terhadap Tian Chua sebelum itu kerana mencederakan Konstabel Rosyaidi Anuar, 22, pada sebatang jalan menghala ke bangunan Parlimen pada 10.45 pagi 11 Disember 2007.

Mahkamah Rayuan semalam menolak permohonan tanpa mendengar alasan meritnya.

Panel tiga hakim yang diketuai Hakim Mahkamah Rayuan Datin Paduka Zaleha Zahari sebulat suara memutuskan bahawa rayuan Tian mempunyai kecacatan kerana ia difailkan melewati tempoh yang disyaratkan oleh undang-undang.

Tian turut menyatakan kekesalan berkenaan alasan teknikal yang digunakan untuk membuang rayuannya sedangkan menurut beliau peguamnya tidak diberi peluang untuk memberi penghujahan.

"Mahkamah Rayuan terima keputusan sebelum ini dan tidak beri peluang peguam saya kemukakan hujah...Saya kesal kerana tak ada peluang buktikan saya tidak bersalah. Bagaimanapun ia tak ganggu tugas saya sebagai ahli parlimen," tegasnya lagi.

No comments: