Malaysia Daulah Kristian? Reaksi Menteri Yang Berjiwa Kerdil




KOMENTAR : Memang jelas jarak firasat dan kepemimpinan Tok Guru Nik Aziz Nik Mat dengan sekurang-kurangnya tiga menteri Umno yang nyata kontang idea mengenai soal kenegaraan dan juga bagaimana membaja keharmonian di Malaysia.

Apabila diminta komen beliau berhubung kegemparan yang dilakukan oleh Utusan Malaysia pada Sabtu 7 Mei lalu, dengan tenang pemimpin dan ahli agama itu menguis soalan dengan mengatakan “tidak mungkin beliau boleh mempercayai laporan Utusan Malaysia”.

Pendirian Nik Aziz memang berasas. Ini kerana komponen utama Barisan Nasional, MCA sendiri kini menggerakkan kempen untuk memboikot akhbar millik Umno itu.

Perihal Utusan tidak menghormati nilai dan sensitiviti kaum lain dalam melaksanakan apa yang didakwanya sebagai “memperjuangkan kepentingan Melayu dan Islam” memang sudah diketahui umum.

Dalam kes ini, pendirian Utusan itu seolah-olah diperakukan oleh tiga menteri Umno –Menteri Dalam Negeri, Hishamuddin Hussein dan Menteri Komunikasi, Multimedia dan kebudayaan, Rais Yatim, dan menteri di Jabatan Perdana Menteri, Jamil Khir Baharom.

Ketiga-tiganya bingkas menggertak sesiapa sahaja yang cuba membangkitkan sentimen agama dan mengancam kehormonian dan keselamatan Negara akan dikenakan tindakan tegas.

Bagi ketiga-tiganya memberi keabsahan kepada tindak tanduk Utusan itu adalah satu peranan yang perlu diluahkan secara terbuka.

Malah Jamil Khir yang diberi tanggungjawab mengurus halehwal agama Islam lantang mendesak DAP yang dikaitkan oleh laporan Utusan itu sebagai penganjur konspirasi hendak menjadikan Malaysia Negara Kristian dan mahu perdana menteri juga beragama Kristian menyatakan pendirian mereka.

Tidak ada usaha untuk menyiasat sumber berita berkenaan. Soal Utusan tidak berbuat demikian dan memutuskan kaedah penulisan penulis blog adalah sahih memanglah satu pelanggaran etika kewartawanan.

Sedihnya, menteri-menteri Umno yang beragama Islam seolah-olah terus percaya akan kesahihan berita berbahaya itu dan lantas menjerkah sesiapa sahaja yang bertindak mengikut laporan Utusan itu akan dikenakan tindakan tegas.

Usahlah congakan laba politik semata-mata dijadikam sandaran pengurusan Negara.

Kasihanilah rakyat jelata yang mahu hidup dalam Negara yang rukun dan damai. Apakah mungkin menteri-menteri berkenaan bersikap demikian kerana mereka sebenarnya adalah wakil “kerajaan Umno-BN yang lemah” seperti kata mantan Presiden Umno, Dr Mahathir Mohamad?

Sebab itulah agaknya mereka terkocoh-kocoh membuat sergahan tindakan tegas akan diambil untuk memberi gambaran kepemimpinan yang tegas demi menutup kelemahan ketara selama ini?

Beginilah masalahnya jika pemimpin yang tiada kebijaksanaan dan firasat yang tinggi. Malah diukur dari latar belakang pendidikan ketiga-tiga menteri berkenaan, ia pasti menyuntik keresahan dan kebimbangan rakyat betapa soal keselamatan dan susila komunikasi di kalangan kaum, agama dan juga rakyat boleh dikocakkan oleh menteri yang bersikap semberono ini.

Nik Aziz, misalnya, memberi jawapan yang tuntas mengapa laporan Utusan itu harus dikesampingkan. Latihan ilmu mustahalatul hadis – atau kesahihan rantaian laporan dan sumber hadis – yang adil dan saintifik membimbingnya untuk dengan yakin mengenepikan laporan yang tidak sahih dan sering menjadi punca atau sumbernya berbaur pelbagai kepentingan.

Itu natijah didikan agama. Hishamuddin, Jamil dan Rais wajib faham konsep asas – setiap sumber berita itu harus disemak dan disahkan terlebih dahulu – seperti yang diajarkan Allah dalam al Quran:

“Wahai orang-orangyang beriman, jika seseorang yang fasik datang kepada kalian membawa satu berita, maka telitilah kebenarannya, agar kalian tidak mencelakakan sesuatu kaum kerana kebodohan (kecerobohan), yang akhirnya kalian menyesali perbuatan kalian itu” (Al Hujurat ayat 6).

Memang isu yang dilaporkan itu perkara besar. Ia boleh menggerhanakan hubungan di antara kaum dan agama di Malaysia. Sebab itu, sikap berhati-hati perlulah menyaluti setiap tindakan daripada pihak berkuasa. Memang hari ini ketiga-tiga mereka orang yang berkuasa dalam Negara ini.

Namun mereka perlu belajar daripada negarawan seperti Nik Aziz supaya lebih berhikmah dan sentiasa memelihara kepentingan agama.

Bersikap bengis dan kasar seperti yang ditunjukkan oleh ketiga-tiga menteri Umno itu cuma akan melontarkan gambaran yang agak kurang bersusila di benak dan perasaan mereka yang bukan Islam.

Pemimpin harus memimpin dan bukan memaksa rakyat untuk memilih mufarakah atau meninggalkan Jemaah Negara Malaysia. Jika beginilah sikap pemimpin,nampaknya masih jauh lagi konsep 1Malaysia bakal jadi kenyataan.

Namun ditinjau di sudut lain, pasti akan timbul pertanyaan, mengapa ketiga-tiga menteri Umno bersikap bengis sedemikian. Adakah mereka benar-benar yakin konspirasi Kristian ini sahih? Jika ia, apa dan di mana buktinya? Rakyat bukan sekadar ingin tahu, malah mereka wajib tahu kerana implikasi kepada kerukunan hidup di Malaysia amat besar.

Usahlah keserakahan sikap menyokong tindakan beberapa kerat ekstrimis yang mengarak kepala lembu yang menjadi simbol suci dalam agama Hindu dua tahun lalu berulang. Ia kini boleh disimpulkan sebagai cerminan sikap dangkal ilmu dan mutu kepemimpinan yang rendah.

Jika diyakini Islam itu adil dan martabatnya tinggi maka sikap dan perangai pemimpin-pemimpin Islam juga mestilah luhur dan mulia. Dengan menggertak dan menghunus senjata, ia tidak selalu menanamkan kegerunan pada pihak lain. Ia hanya jadi bahan senda gurau dan kebencian rakyat. Belajarlah menjadi dewasa dan bertanggungjawab.