Mujahid : Najib Patut Siasat Utusan Bukan Paderi Kristian


SHAH ALAM 9 MEI: Utusan Malaysia dan dua blogger yang dikaitkan kepada laporan fitnah negara Kristian harus menjadi sasaran utama dalam sebarang siasatan yang dijanjikan oleh Perdana Menteri Najib Razak, kata Ahli Parlimen Parit Buntan Dr Mujahid Rawa.

Ini berikutan tindakan akhbar milik Umno itu menyiarkan dakwaan melibatkan sensitiviti agama tanpa pengesahan sahih, kata Mujahid.

Mujahid berkata jaminan Najib untuk menyiasat kesahihan dakwaan itu harus berpaksi kepada Utusan dan dua blogger berkenaan, dan bukannya paderi Kristian yang hanya mengadakan perbincangan keagamaan.

"Bila blogger yang membuat laporan, mengapa Utusan Malaysia terus bawa ke muka hadapan akhbar. Bagi saya Utusan yang harus didakwa dan disiasat. Berita utama yang dibawa boleh membawa kepada ketegangan kaum.

"Jadi bagi saya yang perlu diberi tumpuan ialah siasatan terhadap sumber dan punca berita. Bukan kepada perhimpunan itu dahulu," kata Mujahid ketika dihubungi Tv Selangor sebentar tadi.

Pada 7 Mei lalu, akhbar Utusan Malaysia melaporkan dakwaan kononnya pemimpin Kristian mengadakan konspirasi dengan DAP dalam satu majlis di Pulau Pinang baru-baru ini untuk mengambil alih pentadbiran negara selain mengugurkan status agama Islam sebagai agama persekutuan.

Laporan yang tersebut ditulis berdasarkan penulisan dari laman blog Zakhir Mohamed bertajuk 'Making Christianity the official religion'.

Ahli Parlimen Jelutong, Jeff Ooi turut dituduh bertanggungjawab mengajurkan pertemuan tersebut.

Pihak Gereja dan Ooi menafikan tuduhan itu dan menyifatkan laporan itu sebagai fitnah semata-mata untuk mencemaskan pengundi Melayu.

Berdasarkan pengalaman menjadi ahli panel perbincangan isu kalimah Allah dan Al-Kitab, Mujahid menegaskan tidak pernah wujud unsur-unsur yang diperhatikan bertujuan untuk menggangu-gugat kedudukan agama Islam di negara ini.

Jelas beliau, laporan tersebut bertujuan menimbulkan persepsi buruk dikalangan masyarkat Melayu selain bertindak sebagai penghalang kebebasan beragama dengan menghukum pertemuan pemimpin-pemimpin Kristian tanpa mengambil kira kesahihan dakwaan tersebut.

"Masyarakat Kristian tidak ada masalah menerima Islam sebagai agama rasmi persekutuan dan saya sendiri telah berapa kali turun berdialog dengan pihak gereja dalam isu-isu sensitif termasuk kalimah 'Allah' dan Al-Kitab, saya tidak melihat pertemuan itu menjurus kearah isyarat seolah-olah mereka tidak mahu Islam sebagai agama rasmi," kata beliau.

Sementara itu Mujahid tidak menolak cubaan menyerang parti majoriti Cina, DAP yang semakin mendapat tempat di hati pengundi Cina kawasan bandar seraya membenam kemaraan parti komponen MCA.

Katanya lagi, dakwaan terbaru ini memaparkan seolah-olah Pakatan Rakyat tidak komited dalam melakukan penegasan bersabit keperluan umum memahami agama Islam sebagai agama rasmi yang telah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Walhal jelas beliau, dasar yang dikemukan dalam Buku Jingga jelas memaklumkan perkara yang tercatat dalam perlembagaan tidak akan dipertikai mana-mana pihak.

No comments: