MIRI 11 APRIL: Masuk hari ke enam kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak memperlihatkan penerimaan rakyat terhadap pendekatan dasar Pakatan Rakyat yang berjaya diadaptasi di empat buah negeri di Semenanjung Malaysia iaitu Selangor, Pulau Pinang, Kedah dan Kelantan.
Justeru komitmen luar biasa yang ditunjukkan masyarakat di Bumi Kenyalang itu sepanjang kempen bermula Sabtu lalu menambah keyakinan Ketua Umum, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menerajui usaha menawan negeri itu pada pilihan raya 16 April nanti.
Berucap di hadapan 10 ribu rakyat di bandaraya Miri, Anwar optimis rakyat peribumi Sarawak akan menolak parti Barisan Nasional (BN) kali ini untuk membuka ruang bagi menghentikan kuasa monopoli parti itu selama 30 tahun di bawah Ketua Menteri Taib Mahmud justeru menyerahkan kembali hak rakyat yang telah dirampas.
Anwar berkata berdasarkan pengamatan beliau, rakyat Sarawak telah sekian lama menantikan perubahan namun kini masa yang sesuai telah tiba.
"Orang tanya Anwar apa yang membuatkan anda begitu yakin? Sebab saya lihat mata semua orang saya tahu dan kita akan tahu kalau dia itu betul-betul komited," ujar beliau.
Menurut Anwar tidak mustahil untuk berlaku tsunami politik di negeri itu seperti Pilihan Raya Umum ke 12 pada 2008 yang menyaksikan Pakatan Rakyat menafikan majoriti dua pertiga Barisan Nasional.
Malah beliau beranggapan bahawa sejarah akan tercipta memandangkan Pakatan Rakyat meletakkan calon hampir setiap kerusi yang dipertandingkan.
"Saya kata kali ini di Sarawak kalau kita kerja kuat secukupnya, ada berlaku satu kejutan politik tsunami besar yang akan merubah sejarah Sarawak dan sejarah Malaysia," kata beliau lagi.
Anwar sebelum itu membidas kepimpinan Umno-BN yang cuba untuk mengalih perhatian masyarakat berhubung dakwaan penglibatan beliau dalam rakaman video seks lucah.
Namun perkara itu kurang mendapat sambutan di kalangan rakyat Sarawak sehingga memaksa media arus perdana cuba untuk membangkitkan perkara itu dalam sidang media Anwar semalam.
Justeru hari ini polis mengesahkan ia belum meminta Anwar untuk menyerahkan jam tangan Omega itu.
Anwar kemudiannya menasihatkan agar pengundi memandang kehadapan demi masa depan generasi muda akan datang di negeri Sarawak.
"Kita bercakap tentang masa depan kita dan anak-anak. Sokong kita punya calon, DAP kebanyakkannya di bandar Sibu dengan agenda ini dengan niat untuk melindungi negeri dan anak-anak kita untuk jamin masa depan," jelasnya.
Turut memberi ucapan sebelum itu Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng yang mendapat sambutan baik hadirin yang berkumpul.