Kes Anwar : Makin Jelas Ada Agenda Politik

Kes Anwar : Makin Jelas Ada Agenda Politik
Ditulis oleh Edi Suleiman
08/03/2011 Share


KUALA LUMPUR 8 MAC : Keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak bahan bukti yang diambil oleh polis untuk mensabitkan Datuk Seri Anwar Ibrahim membuktikan pertuduhan itu mempunyai agenda politik dan berniat jahat, kata Anwar.

"Keterangan hakim bahawa penangkapan itu tidak sah di sisi undang-undang mengukuh hujah kita bahawa tangkapan itu adalah melanggar prinsip perlembagaan dan dilakukan dengan niat tidak baik. Ini disahkan oleh hakim. Kalau ini berlaku maknanya tangkapan itu sendiri telah melanggar perlembagaan," tegas beliau .

Ketua Pembangkang itu membayangkan pihak pendakwaraya akan terus berkeras menggunakan bukti DNA terhadap beliau sekali pun hakim menolak tiga bahan kes yang diperolehi secara haram itu.

"Kalau pun ini berlaku, kita masih akan pertikaikan kerana pakar DNA pendakwa memberi tarikh yang salah. Kononnya yang disebut itu 26 haribulan (tetapi) pemeriksaan 28hb dan penyerahan kepada Jabatan Kimia dua hari kemudiannya yang telah disimpan oleh DSP Jude,' tambah Anwar .

DSP Jude Pereira adalah pengawai penyiasat kes itu.

Hakim Mohamad Zabidin Md Diah berkata sehelai tuala, berus gigi dan botol air mineral yang dirampas dari lokap Anwar pada Julai 17 2008 diperolehi secara tidak sah dan justeru itu, tidak boleh digunakan sebagai bahan bukti.

Barang-barang itu dirampas setelah Anwar ditangkap tanpa diberitahu asas tuduhan dan dipaksa bermalam di lokap itu pada 16 Julai 2008. Polis kemudian merampas tiga barangan itu untuk diguna dalam ujian DNA bagi mensabitkan Anwar atas tuduhan liwat. .

Anwar sebelum itu menolak cubaan polis mendapatkan sampel DNAnya kerana khuatir sekali lagi menjadi mangsa bukti reka cipta sebagaimana yang berlaku pada tahun 1998. Dalam perbicaraan itu, Anwar disabit kesalahan dan dihukum penjara enam tahun.

Anwar menegaskan bahawa tindak tanduk polis, sebagaimana yang didedahkan di mahkamah, menunjukkan wujud campurtangan politik untuk mensabitkan beliau menggunakan bukti rekacipta " di setiap peringkat."

Peguam Sankara Nair pula menegaskan keputusan mahkamah hari ini seharusnya mengecualikan Anwar daripada dikaitkan ujian DNA yang mengenal pasti "lelaki Y" antara orang yang meliwat pengadu Saiful Bukhari Azlan .

"Jadi mereka tidak dapat berbuat demikian sekarang. Kesimpulannya 'lelaki Y' itu tidak ada kena mengena dengan Datuk Seri Anwar," katanya.

Perbicaraan bersambung esok dengan pendakwaraya dijangka memanggil DSP Jude Periera untuk memberi keterangan.