Kes Anwar : Mahkamah Tolak Bahan Bukti Polis
08/03/2011
KUALA LUMPUR 8 MAC: Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini menolak bahan bukti yang diperolehi secara tipu helah oleh polis untuk mensabitkan Datuk Seri Anwar Ibrahim atas tuduhan fitnah liwat untuk kali kedua.
"Mahkamah mendapati 3 barang yang diperoleh secara tidak adil. Justeru barang-barang ini tidak boleh diguna sebagai bahan bukti dalam perbicaraan ini," kata Hakim Zabidin Mohd Diah, merujuk kepada sehelai tuala, berus gigi dan botol air mineral yang diperolehi dari lokap IbuPejabat Polis Kuala Lumpur pada Julai 2008.
Barang-barang itu dirampas setelah Anwar ditangkap tanpa diberitahu asas tuduhan dan dipaksa bermalam dalam lokap itu pada 16 Julai 2008. Polis kemudian merampas barangan itu untuk diguna dalam ujian DNA dengan tujuan mensabitkan Anwar atas tuduhan liwat aygn didakwa berlaku pada Jun tahun itu.
Anwar sebelum itu menolak cubaan polis mendapatkan sampel DNAnya kerana khuatir sekali lagi menjadi mangsa bukti reka cipta sebagaimana yang berlaku pada tahun 1998. Dalam perbicaraan itu, Anwar disabit kesalahan dan dihukum penjara enam tahun.
Peguam Anwar, Karpal Singh hari ini menggesa mahkamah merujuk kepada keputusan Mahkamah Persekutuan sebelum ini yang menolak bukti-bukti yang diambil secara tipu helah dan tidak mengikut undang-undang yang ditetapkan.
Menurut Karpal, tangkapan ke atas ketua pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim itu dijalankan secara tidak sah dan barang berkenaan diperolehi secara tidak adil, justeru ia harus ditolak.