Kg Baru: MAS masih optimistik tapi ambil masa ‘lama’

March 08, 2011

KUALA LUMPUR, 8 Mac — Lembaga Pentadbir Penempatan Pertanian Melayu (MAS) Kampung Baru masih optimistik usaha membangunkan semula kawasan penempatan berusia 111 tahun itu, yang terletak di ibu negara, akan menjadi kenyataan tetapi akan memakan masa yang panjang daripada dijangkakan.

Pentadbiran itu melahirkan pendirian ini di sebalik langkah Putrajaya menangguhkan pembentangan Rang Undang-undang Perbadanan Pembangunan Kampong Baru 2010 untuk bacaan kali kedua ekoran bantahan pemilik dan pewaris tanah.

Undang-undang itu membuka laluan kepada pembentukan sebuah perbadanan, yang awalnya dikatakan akan menggantikan MAS dan kuasa mutlak menteri dan imuniti daripada pendakwaan, tetapi ditentang keras oleh banyak pihak.

MAS melahirkan pandangan itu memandangkan soal membangunkan semula Kampung Baru sudah lama diperkatakan — lebih tiga dekad lalu - tetapi berhadapan dengan pelbagai halangan dan cabaran.

Sehubungan itu, pihak MAS mahu kerajaan menyelesaikan isu-isu berkaitan sebelum meneruskan rancangan untuk membangunkan semula kawasan penempatan milik orang Melayu, yang termahal dan mempunyai “kuasa autonomi” itu.

Setiausaha Kehormat MAS Shamsuri Suradi mengingatkan bahawa mengikut kiraan mereka, usaha itu kemungkinan mengambil masa 10 tahun sebelum kerajaan boleh menyelesaikan kesemua isu setempat.

“Saya masih optimistic . . . tetapi ia memerlukan masa,” kata beliau kepada The Malaysian Insider, yang membayangkan bahawa kerja-kerja pembangunan hanya boleh selesai kerja-kerja asas selesai.

“Saya merasakan kerja-kerja asas (berkaitan dokumentasi pemilikan) sahaja akan mengambil masa 10 tahun, tetapi ia boleh dipercepatkan jika pihak-pihak terbabit sanggup tampil agar dapat diselesaikan dengan segera,” kata beliau.

Misalnya menurut beliau, isu yang paling penting ialah geran pemilikan tanah memandangkan 26 daripada 850 lot tanah masih belum ada geran sehingga kini.

“Satu lagi isu besar ialah pemilikan tanah turun-temurun. Ada kes di mana 20 orang memiliki satu bidang tanah. Mereka perlu datang dan melantik wakil mereka untuk berbincang dengan kerajaan (bagi menyelesaikan isu pemilikan),” kata Shamsuri yang turut menunjukkan sistem dokumentasi mereka mengenai soal pemilikan tanah di kawasan tersebut.

Katanya, jika pihak-pihak terbabit boleh tampil memberikan maklumat dan ia boleh dipercepatkan, kemungkinan kerja-kerja asas boleh selesai awal.

Justeru kata beliau, MAS juga mengharapkan agar diadakan satu kaedah yang betul untuk mengetahui pendirian penduduk kawasan berkenaan.

“Tanpa perundingan yang betul, kita tidak akan tahu siapa yang menyokong dan siapa yang menentang usaha pembangunan... satu hari seorang boleh membawa 500 orang mendakwa menyokong pembangunan, hari yang lain satu lagi kumpulan akan mendakwa menentang.

“Ia sesuatu yang sangat mengelirukan,” kata beliau yang dilihat merujuk kepada usaha penyelesaian yang agak rumit.

Terdapat lebih 4,000 pemilik tanah Kampung Baru melibatkan tujuh kampung dengan kawasan seluas 90.2 hektar.

Tujuh kampung berkenaan itu ialah Kampung Periuk, Kampung Masjid, Kampung Atas A, Kampung Atas B, Kampung Hujung Pasir, Kampung Paya dan Kampung Pindah.

Kebanyakan tanah dimiliki lebih daripada seorang pemilik disebabkan undang-undang warisan Islam.

Jelas Shamsuri, seramai 54 peratus pemilik tanah masih tinggal di Kampung Baru.

Mengenai tanggapan bahawa MAS bimbang akan hilang kuasa jika sebuah perbadanan baru ditubuhkan, Shamsuri berkata, pihaknya sanggup untuk menyesuaikan dengan pendekatan baru yang diambil selagi peranan lembaga itu tidak diketepikan.

“Jika anda melihat pada undang-undang yang ada (enakmen MAS), MAS boleh mengeluarkan seseorang yang tinggal (di Kampung Baru), tetapi kami tidak melakukan perkara itu sekarang, jadi MAS bersikap adaptif dalam hal ini,” kata Shamsuri dengan merujuk kepada Enakmen MAS 1950.

Sehubungan itu beliau juga menegaskan MAS bukannya bimbang akan “hilang kuasa” tetapi mahu mempertahankan tanah yang dikurniakan kepada orang Melayu lebih 100 tahun lalu.

Minggu lalu, Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar Datuk Seri Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin mengumumkan bahawa pembentangan Rang Undang-Undang Perbadanan Pembangunan Kampung Baru pada sesi Dewan Rakyat yang bermula semalam, ditangguhkan sehingga sesi akan datang.

Langkah itu bagi membolehkan beberapa klausa dalam rang undang-undang itu diperhalusi.

Rang undang-undang itu dibentangkan untuk bacaan kali pertama pada Disember lepas.

Raja Nong Chik berkata pihaknya juga menubuhkan satu jawatankuasa yang diketuai Ketua Setiausaha kementerian Datuk Ahmad Phesal Talib dan dianggotai beberapa badan bukan kerajaan (NGO) bagi memperhalusi klausa-klausa terbabit.

“Jika ada perkara yang belum selesai sebelum itu, jikalau perlu dilambatkan kita akan lambatkan (pembentangan). Apa yang penting suara pemilik dan pewaris didengar dan akhirnya kepentingan mereka dilindungi,” kata beliau.

Katanya sesi penerangan berkaitan klausa berkenaan akan dikendalikan beberapa NGO seperti MAS, Persatuan Pembangunan Kampung Baru (PPKB) dan Persatuan Kebajikan Anak-Anak Kampung Baru.

Dalam komen sebelum ini, Shamsuri berkata, Putrajaya memutuskan untuk menggugurkan peruntukan kontroversi - imuniti “tidak boleh dicabar” yang terkandung dalam Rang Undang-undang Perbadanan Pembangunan Kampong Baru 2010 ekoran bantahan pemilik dan pewaris tanah Kampung Baru.

Peruntukan itu, yang tidak membolehkan tindakan undang-undang diambil ke atas perbadanan baru yang akan ditubuhkan, anggota atau pekerjanya, merupakan antara beberapa perkara yang mencetuskan rasa tidak puas hati di kalangan pemilik dan pewaris penempatan Kampung Baru selepas ia dibacakan kali pertama di Parlimen Disember lalu.

The Malaysian Insider difahamkan rang undang-undang itu juga mewajibkan sesuatu pendakwaan bagi mana-mana kesalahan tidak boleh dimulakan kecuali oleh atau dengan keizinan bertulis pendakwa raya.

Rang undang-undang itu sepatutnya dibacakan kali kedua pada sidang Parlimen kali ini, yang bermula Isnin ini, tetapi ditangguhkan sehingga Jun.

Selain MAS, Umno Titiwangsa mahu kuasa mutlak dalam akta yang digubal khusus untuk membangunkan Kampung Baru, penempatan orang Melayu paling mahal di ibu negara, dikaji balik dan “kena diubah sedikit” supaya tidak merugikan pemilik dan pewaris dalam jangka panjang.

Pemangku ketuanya Datuk Johari Abdul Ghani berkata, langkah itu perlu memandangkan pemilik dan pewaris bimbang dengan kuasa menteri yang kelihatan mutlak dan tidak boleh dipertikaikan jika wujud masalah kelak.

Ahli Parlimen Titiwangsa Dr Lo’Lo’ Mohamad Ghazali juga mahu Rang Undang-undang Perbadanan Pembangunan Kampong Baru 2010 ditarik balik “sepenuhnya”, bukannya ditangguhkan bacaan buat kali kedua di Parlimen sehingga Jun ini.

Kampung Baru terletak dalam bahagian Parlimen Titiwangsa.

No comments: