Syed Husin Ali bakal bantu kemudi PKR

Oleh Fazy Sahir, Free Malaysia Today

SHAH ALAM: Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata penyandang timbalan presiden Dr Syed Husin Ali bakal diletakkan dalam satu komposisi jawatan penting dalam parti itu kelak.

Pandangan itu diutarakan beliau ketika menyampaikan ucapan kepada 1,000 anggota dalam perhimpunan rapat umum anjuran PKR Selangor di Auditorium MBSA malam tadi.

Menurut Anwar perbincangan telah dibuat bersama presiden Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, dan mahu usul itu dibawa dalam barisan majlis pimpinan baru.

"Perkara ini sudah saya bincang dengan presiden dan mahu usul ini dibawa kepada barisan pimpinan baru. Saya berpendapat Syed Husin ada peranan penting dalam parti, kami bincang untuk tempatkan beliau membantu mengemudi parti.

"Maka bukan hanya satu pengemudi dalam bahtera yang sama," katanya.

Walaupun Anwar tidak menjelaskan secara lanjut sebarang komposisi jawatan tersebut, namun Syed Husin dijangka membantu presiden dan timbalan presiden yang baru dalam hala tuju parti itu nanti.

Syed Husin enggan mempertahankan jawatan sebagai timbalan presiden pada pemilihan kali ini bagi memberi peluang calon-calon muda untuk bertanding.

Persaingan jawatan timbalan presiden itu bermula dengan tiga calon iaitu Azmin Ali, Datuk Zaid Ibrahim dan Mustaffa Kamil Ayub.

Namun Zaid bertindak menarik diri disaat pemilihan hanya berbaki dua minggu untuk pengundian.

Sementara itu, Anwar turut memberi peringatan kepada pemimpin PKR untuk tidak menggunakan saluran media Umno-Barisan Nasional (BN).