PRU-13: Kit Siang ingatkan PR, BN jangan hanyut dibuai mimpi
KUALA LUMPUR, 20 Nov —Lim Kit Siang mengingatkan kedua-dua rakan dan pesaingnya - BN dan Pakatan Rakyat (PR) agar tidak terlampau yakin bahawa keputusan pilihan rakyat umum ke-13 pastinya akan memihak ikatan masing-masing.
Pemimpin veteran ini (gambar) mendakwa BN dan PR berhadapan dengan “malapetaka” andaian politik hanya berdasarkan perkembangan semasa.
“Kesilapan besar bagi BN ialah mengandaikan bahawa ia masih boleh mengekalkan Putrajaya dan boleh menang balik kerajaan negeri Kedah dan Selangor daripada PR berdasarkan kejayaan dalam pilihan raya kecil Galas, Batu Sapi, Hulu Selangor dan Bagan Pinang,” kata penasihat DAP ini di Kota Kinabalu hari ini.
Kenyataannya dikeluarkan di ibu negara.
Beliau berkata pemimpin-pemimpin BN kelihatan terlalu yakin selepas membaca komen bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa perikatan itu boleh merampas balik Kedah dan Selangor, negeri terkaya dan paling maju.
Ahli Parlimen Ipoh Timur juga berkata PR juga berhadapan dengan risiko jika pakatan itu terlalu yakin dengan menganggap bahawa perjalanan mereka untuk menawan Putrajaya daripada penguasaan BN sudah tidak boleh “dihalang lagi.”
“Pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat mesti dengan segera memulihkan kehilangan keyakinan rakyat ke atas Pakatan Rakyat, bukan sahaja ekoran kekalahan di Galas dan Batu Sapi, tetapi juga daripada masalah-masalah dan pergolakan dalamalam parti-parti Pakatan Rakyat,” tegas Lim.
Lim berkata pemimpin-pemimpin PR sewajarnya dengan segera mengatasi kesemua masalah yang wujud sekarang dan mengembalikan keyakinan awam yang terhakis.
Justeru kata beliau, PR tidak boleh selesa atau memandang mudah cabaran serius dan ancaman yang diperlihatkan oleh BN sama ada di peringkat Parlimen atau Dewan Undangan Negeri.
BN dan PR masing-masing akan bertapak di Putrajaya di sebalik spekulasi bahawa pilihan raya umum akan diadakan tahun depan.
Beberapa komponen BN melihat pendirian terbaru Dr Mahathir mengenai prestasi perikatan itu pada pilihan raya umum ke-13 ada kebenarannya, tetapi pada masa yang sama mereka menyifatkan ia sebagai satu “kenyataan psikologi balikan” agar mereka tidak terus “seronok dan selesa.”
Malah, sebahagian besar mereka memperlihatkan keyakinan yang lebih tinggi dengan berpendapat BN berpeluang merampas sehingga tiga negeri termasuk kemungkinan Kelantan pada pilihan raya umum ke-13, yang disebut-sebut akan diadakan awal tahun depan
Dr Mahathir ketika bercakap kepada Bloomberg berkata BN berupaya untuk merampas balik satu atau dua negeri daripada PR dalam pilihan raya umum ke-13 atas alasan perikatan muda tiga komponen itu berada dalam keadaan goyah.
Bagaimanapun beliau berkata, BN kemungkinan “tidak akan mendapat majoriti dua pertiga (di Parlimen) bagi membolehkan mereka menerajui kerajaan (persekutuan) dengan majoriti selesa.”
Dr Mahathir melahirkan pendirian itu di sebalik spekulasi bahawa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang juga Pengerusi BN kemungkinan akan memanggil pilihan raya umum pada suku pertama tahun depan.
Malah Dr Mahathir juga menyifatkan kepimpinan Najib memperlihatkan “perubahan besar” berbanding era Tun Abdullah Ahmad Badawi.
Pun begitu beberapa pemimpin PR berkata, mereka yakin akan mengekalkan negeri-negeri yang mereka menang dua tahun lalu.
Hari ini BN memperkenalkan beberapa pindaan peraturan, langkah yang bertujuan menjana sokongan yang hilang pada pilihan raya umum 2008.