Oleh Fazy Sahir dan Jamilah Kamaruddin, Free Malaysia Today
SHAH ALAM: Perhimpunan rapat umum atau lebih dikenali sebagai sesi suai kenal yang dianjurkan PKR Selangor malam tadi bertukar menjadi medan menghentam bekas pengerusi Wilayah Persekutuan Datuk Zaid Ibrahim oleh pimpinan tertinggi parti itu.
Walaupun terdapat beberapa pemimpin yang tidak menyatakan 'gerangan' individu tersebut namun mereka jelas menghentam setiap kenyataan Zaid terhadap parti yang membawa kepada tindakannya keluar parti berkuatkuasa 16 Disember ini.
Pengerusi PKR Selangor Azmin Ali yang pernah menjadi pesaing terdekat Zaid dalam jawatan timbalan presiden dalam ucapannya merayu kepada kepimpinan tertinggi parti agar tegas dan berani untuk membersihkan anasir-anasir 'Trojan horse' ini kelak.
Menurut Azmin tindakan menyuruh ketua umum Datuk Seri Anwar Ibrahim berundur dari parti disifatkan sesuatu yang melampau.
"Ada suara-suara sumbang jika suruh saya berundur saya terima, tetapi suruh Datuk Seri Anwar Ibrahim berundur itu tindakan melampau. Beliau umpama orang tiada rumah, kita jemput masuk beri segala kemewahan, beri segala makanan dan tilam empuk, permaidani hebat...setahun nikmati kemudahan itu.
"Maka saya rayu Anwar, Azizah, timbalan, biro politik dan majlis pimpinan pusat selesai kongres kita perlu tegas dan berani untuk membersihkan 'trojan horse' yang wujud dalam parti.
"Jangan tangguh...sebab kita bimbang dengan orang-orang seperti ini. Kita bersama presiden, Anwar dan rakyat sudah bina parti ini 12 tahun lalu," katanya ketika berucap di hadapan kira-kira 1,000 anggota PKR di Auditorium MBSA malam tadi.
Katanya, semakin banyak serangan diterima PKR beliau yakin parti itu akan bertambah kuat.
Penyandang timbalan presiden Dr Syed Husin Ali yang cukup lantang mengkritik Zaid mengalu-alukan pengunduran beliau daripada PKR.
"Apa hendak kita gelarkan kepada seseorang yang menafikan keputusan Pakatan Rakyat memboikot Utusan Malaysia dan memburukkan parti?"
"Jika orang ini hendak keluar...sila keluar. Jika orang ini nak gunakan tali gantung untuk gantung diri pastikan biar sampai mati," katanya tanpa menyebut nama pemimpin tersebut.