Protes bina Warisan Merdeka ‘muncul’ dalam kempen PAS di Galas

Protes bina Warisan Merdeka ‘muncul’ dalam kempen PAS di Galas

October 28, 2010
Hadi Awang memberikan ceramah di Kampung Baru Gua Musang malam tadi. — Gambar oleh Choo Choy May

GUA MUSANG, 28 Okt — Pelan membina satu lagi bangunan tertinggi — Warisan Merdeka — yang kini mendapat bantahan banyak pihak termasuk hampir 200,000 orang menerusi online, turut dibangkitkan dalam kempen DUN Galas dengan Presiden PAS menegaskan, pengumuman kerajaan BN itu tidak akan memberi sebarang manfaat kepada rakyat khususnya pengundi Gua Musang.

Datuk Seri Abdul Hadi Awang menegaskan, adalah lebih baik kekayaan yang dimiliki negara itu diagihkan secara adil kepada rakyat di negara ini tanpa mengira kaum dan agama.

“BN cakap nak buat bangunan 100 tingkat (menara Warisan Merdeka), apa matfaatnya kepada rakyat di Gua Musang? Adakah ia untuk pelancong?

“Pelancong datang bukan nak tengok bangunan 100 tingkat, bukan nak tengok kapal selam tapi nak tengok alam semula jadi,” kata Hadi ketika memberikan ceramah di padang Kampung Baru Gua Musang di sini malam tadi.

Dalam Bajet 2011 yang dibentangkan dua minggu lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengumumkan pembinaan projek bersepadu Warisan Merdeka dengan menara 100 tingkat tertinggi di Malaysia bernilai RM5 bilion yang dijangka siap pada 2015.

Warisan Merdeka akan menjadi menara tertinggi di Malaysia. Projek itu akan mengekalkan Stadium Merdeka dan Stadium Negara sebagai warisan negara.

Projek itu bagaimanapun ditentang hebat pelbagai pihak, terutama pemimpin Pakatan Rakyat.

Menurut Hadi, hasil kekayaan negara yang dimiliki tidak diagihkan dengan adil sebaliknya ia hanya memberikan faedah pemimpin-pemimpin BN sahaja.

“Kita tahu hasli negara kita banyak tapi kekayaan itu hanya berpusing di kalangan orang besar dan kaya sahaja.

“Tidak banyak hasil tersebut turun kepada rakyat. Dalam Islam harta dari negeri itu adalah satu amanah bukan milik pemimpin.

“Jadi ia perlu diagihkan bersama rakyat,” katanya.

Sebahagian penduduk tempatan yang mengikuti ceramah kempen PAS di Kampung Baru malam tadi. — Gambar oleh Choo Choy May
Ahli Parlimen Marang itu bagaimanapun mengakui hak keistimewaan orang Melayu dan Bumiputera yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan tidak boleh dipertikaikan.

“Walaupun dalam Perlembagaan (Persekutuan) kata hak keistimewaan orang Melayu dan Bumiputera tidak boleh disentuh tapi kita tidak boleh nafikan hak kaum lain juga.

“Kita mahukan kekayaan itu diagihkan dengan adil, dengan itu baru kerajaan boleh membantu rakyat. Tapi dalam kerajaan BN ia tidak berlaku kerana pemimpin mereka tidak amanah dan mengamalkan rasuah,” katanya.

Beliau juga menekankan soal keperluan menukar kerajaan menerusi pilihan raya.

“Dalam Islam tiada kerajaan yang kekal, kita boleh tukar kerajaan. Kerajaan buat macam mana pun kita boleh jatuhkan juga,” kata beliau dalam ceramah hari kedua berturut-turut di sini.

Justeru bekas menteri besar Terengganu ini mahu semua rakyat di negara ini bersatu untuk menjatuhkan kerajaan BN yang diperintah Najib sekarang.

“Kalau Melayu nak jatuhkan BN tidak boleh, Cina nak jatuhkan juga tidak boleh dan India nak jatuhkan juga tidak boleh; kita semua Melayu, Cina dan India perlu bersatu untuk jatuhkan BN.

“Kita perlu beri mesej dengan jelas di Galas, BN modalnya mudah tabur duit, tabur janji. Itu sahaja, kita perlu bersatu untuk jatuhkan BN,” tegasnya.

Dalam ceramahnya itu, Hadi turut menjelaskan Pakatan Rakyat yang dianggotai PAS, Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP mampu menjadi sebuah kerajaan yang lebih baik daripada BN dengan berlandaskan kepada prinsip keadilan semua kaum.

“Justeru untuk Pakatan Rakyat memerintah Malaysia kita perlu menang dan kita tidak boleh perintah negara ini hanya dengan satu kaum.

“Semua kaum Melayu, Cina, India dan Asli berhak untuk mendapatkan keadilan yang sepatutnya. Inilah yang menjadi perjuangan bersama Pakatan Rakyat.

“Di Galas jelas menunjukkan pemimpin Pakatan Rakyat dari PAS, PKR dan DAP bekerjasama untuk memastikan kemenangan. Sama seperti kita membantu DAP di Sibu begitu juga sama seperti kita menolong PKR dulu. Kali ini rakan-rakan lain pula bantu kita di Galas,” katanya.

Beliau berkata walaupun kerajaan negeri Kelantan menghadapi sekatan daripada kerajaan pusat, namun PAS mampu memerintah negeri itu selama 20 tahun.

“Semua tahu PAS adalah parti Islam tapi dalam politik Islam perlu adil kepada semua. PAS telah memerintah selama 20 tahun di Kelantan walaupun menghadapi sekatan dan kepungan dari kerajaan pusat tetapi masih tetap bertahan.

“Walaupun banyak perkara tidak dapat dilakukan dalam tempoh 20 tahun ini kerana sekatan tapi PAS telah melakukan yang terbaik,” katanya.

No comments:

(function() { var d = document, w = window; w

NAK LINTAS NEGERI ? USTAZ NI ADA PENYELESAIAN.....KEH...KEH...JOM AMALKAN..PAKAT BALIK KAMPUNG

  [VIDEO] Ustaz ini kongsi rahsia amalan untuk rentas negeri dalam kuliyah May 7, 2021  Amalan untuk rentas negeri walaupun polis tegas tak ...