Perkembangan itu menandakan orang ramai juga sudah “dijangkiti” demam pilihan raya ketika banyak pihak meramalkan pilihan raya umum ke-13 akan diadakan pertengahan tahun depan.
Sepanjang 2007 — tahun demam pilihan raya umum ke-12 — Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menerima purata 300,000 permohonan setiap suku tahun.
Jumlah semasa itu juga lebih tinggi berbanding 191,970 permohonan baru yang diterima sepanjang suku kedua tahun ini iaitu antara April dan Jun.
Pada suku pertama iaitu Januari dan Mac lalu, suruhanjaya menerima 157,327 permohonan.
Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof yang turut mengakui peningkatan dalam jumlah pendaftar baru berkata, ia merupakan satu trend biasa atau normal menjelang pilihan raya umum.
“Biasanya jumlah pengundi baru akan meningkat ketika menghampiri atau menjelang pilihan raya umum, saya gembira dengan peningkatan ini,” kata beliau sambil menambah, peningkatan ini membabitkan semua pendekatan yang digunakan untuk mendaftar pemilih-pemilih baru.
“Kesemua pendekatan seperti penggunaan penolong pendaftar, pejabat pos, kaunter-kaunter SPR... semuanya memperlihatkan peningkatan jumlah pengundi baru yang didaftarkan,” katanya.
Jelas beliau, kadar pendaftaran pengundi baru akan menurun selepas sesuatu pilihan raya umum.
“Ini trend normal,” katanya.
Ketika ditanya sama ada SPR menjangkakan peningkatan dua kali ganda pada suku keempat tahun ini berbanding tempoh Julai hingga September, Abdul Aziz: “Sukar untuk dijangkakan, tetapi saya gembira dan berharap boleh mencapai tahap itu.”
Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini, SPR berkata, dalam tempoh yang sama — Julai dan September lalu — seramai 32,494 pemilih sedia ada memohon pertukaran alamat pusat mengundi.
Rang Daftar Pemilih Tambahan bagi suku tahun ketiga 2010 telah mula dipamerkan sejak semalam sehingga 2 Novemver di 997 tempat pameran di seluruh negara, kata SPR.
Mereka yang baru memohon menjadi pemilih atau pemilih berdaftar yang telah memohon untuk pertukaran alamat pusat mengundi dinasihatkan untuk menyemak rang tersebut.
“Mana-mana warganegara yang baru mendaftar sebagai pemilih tetapi mendapati nama mereka tidak tersenarai dalam Rang Daftar Pemilih Tambahan Suku Tahun Ketiga 2010, boleh membuat tuntutan dengan menggunakan Borang B,” kata kenyataan itu lagi.
Sementara itu, bagi mana-mana pemilih berdaftar di satu-satu bahagian pilihan raya yang hendak membuat bantahan ke atas kemasukan nama mana-mana orang dalam rang itu boleh membuat bantahan dengan mengisi Borang C.
Antara tempat pameran rang daftar pemilih ialah Pejabat Pilihan Raya Negeri (14 tempat), Pejabat Pos Berkomputer (457 tempat), kompleks atau pejabat kerajaan (103 tempat), Pejabat Daerah atau Pejabat Tanah (157 tempat), Majlis Daerah atau Perbandaran (52 tempat), Dewan Serbaguna, Rukun Tetangga, Balai Raya, Kompleks Penghulu, Dewan (183 tempat) dan lain-lain tempat (30 tempat).
Selain itu, SPR juga turut mempamerkan nama-nama pemilih yang akan dikeluarkan daripada Daftar Pemilih.
“Asas SPR mengeluarkan nama pemilih berkenaan daripada Daftar Pemilih ialah kerana mereka ini didapati telah meninggal dunia, lucut hak warganegara dan telah bersara daripada Angkatan Tentera atau polis yang bermakna telah hilang kelayakan sebagai seorang pemilih pos dan sebagainya,” kata SPR.
Justeru, SPR memohon kerjasama waris untuk melaporkan kematian kepada Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dengan segera serta membawa permit mengubur sebagai bukti kematian bagi membolehkan JPN mengeluarkan Sijil Kematian kepada waris.
“Tanpa memperoleh pengesahan daripada JPN bahawa seseorang pemilih itu telah pun meninggal dunia, SPR tidak mempunyai kuasa untuk mengeluarkan nama-nama pemilih berkenaan daripada pengkalan data Daftar Pemilih,” kata kenyataan itu.
SPR juga menasihatkan pemilih-pemilih berdaftar untuk membuat semakan maklumat pendaftaran pemilih bagi memastikan pemilih-pemilih ini didaftarkan di lokaliti yang betul.
Bagi pemilih-pemilih berdaftar yang sudah bertukar alamat tempat bermastautin, mereka digalakkan membuat permohonan pertukaran alamat pusat mengundi bagi membolehkan mereka mengundi di satu pusat mengundi berdekatan dengan tempat kediaman masing-masing.
Permohonan pertukaran alamat pusat mengundi boleh dibuat di mana-mana pejabat pos berkomputer, kaunter-kaunter bergerak SPR, kaunter ibu pejabat SPR di Putrajaya atau di kaunter-kaunter pejabat pilihan raya negeri.
Untuk mendapatkan maklumat lanjut, orang ramai boleh melayari laman web SPR atau menghubungi ibu pejabat SPR di talian 03-88856500 atau melalui faks 03-88889117 atau menghubungi mana-mana pejabat pilihan raya negeri.