Dalam siasah syar‘iyyah, antara asas memilih pemimpin ialah al-qawiyy al-amin: berkeupayaan dan amanah. Qawiy bukan sekadar kuat suara atas pentas. Kena ada ilmu, kompetensi dan kebolehan menyelesaikan masalah rakyat.
Kalau petah berceramah tetapi bila berdepan masalah pentadbiran terus buntu, di mana qawiy yang kita mahu banggakan?
Isu ladang sireh Rohingya di Kelantan ini menjadi ujian kepada pemimpin PAS. Masa nilah rakyat nak tengok sama ada mereka mampu mengurus masalah, menyelaraskan tindakan dan memberikan jawapan yang jelas.
Tanah siapa? Siapa pengusaha sebenarnya? Apa status operasi dan penggunaan tanah itu? Sireh dijual ke mana? Apakah aduan penduduk dan apa tindakan yang sudah dibuat?
Semua ini perlukan siasatan dan jawapan. Bukan dibiarkan rakyat meneka sampai macam-macam cerita timbul.
Menjelaskan batas kuasa kerajaan itu perlu. Tetapi selepas beritahu apa yang tak boleh dibuat, jelaskan pula apa yang BOLEH dibuat. Siapa perlu bertindak? Agensi mana perlu dilibatkan? Bila rakyat boleh tahu hasilnya?
Itulah kerja pemimpin. Kalau semuanya rakyat kena fikir sendiri, apa gunanya ada wakil rakyat dan barisan Exco?
Yang mesti ditolak ialah fahaman bahawa membawa nama agama sudah cukup untuk membuktikan seseorang layak memerintah. Lebih-lebih lagi kalau kritikan terhadap kelemahan pentadbiran mahu dianggap sebagai serangan terhadap agama.
Dalam masa sama, pemimpin di beberapa negeri PAS kumpul kekayaan berselindung disebalik imej agama.
PAS boleh dikritik. Keputusan pemimpinnya boleh dipersoalkan. Prestasi pentadbirannya boleh dinilai. Itu bukan menghina Islam.
Jangan sampai agama dijadikan perisai untuk menutup kelemahan sendiri. Amanah menuntut kejujuran, qawiy menuntut keupayaan. Kedua-duanya kena dibuktikan melalui kerja.
Ladang sireh ini bukan pentas ceramah. Inilah ujian pentadbiran. Tunjukkan penyelesaian.

No comments:
Post a Comment