Anuar Ahmad
Sekian lama saya menulis, menegur, mencadang dan ada masanya saya terpaksa mengkritik sistem pendidikan negara. Menulis hampir setiap hari tanpa jemu.
Saya tahu ramai yang tidak suka dengan teguran dan kritikan saya. Saya tahu. Malah ada antaranya yang saya kenal. Ada juga yang kata 'Tak payahlah menulis, KPM tak baca pun! Ada juga yang kata "buang masa je tulis kat FB tu".
Macam -macam yang saya terima. Tetapi saya telah memilih jalan ini dan bersedia untuk tidak disukai. Hatta selepas menerima 'surat peringatan' pun saya masih terus juga memberi pandangan dengan fakta sahih yang ada.
Saya terus menulis kerana saya tahu saya di pihak yang benar. Dan bukan niat saya menulis untuk mencari salah sesiapa. Saya hanya menulis tentang kelemahan sistem pendidikan. Bukan tentang kelemahan mana -mana individu.
Kritik saya atas tujuan yang baik dan jujur. Kritik saya bukan untuk kepentingan diri saya. Bukan juga atas tujuan politik. Saya kritik atas prinsip ilmu pendidikan, kerana saya tahu ada yang tidak kena dengan sistem pendidikan negara kita.
Saya selalu berkata di dalam hati , 'satu hari nanti pasti apa yang saya tulis akan terbukti juga. Saya sangat percaya, pasti akan terbukti juga'. Hanya masa yang akan menentukan. Hari ini, ditakdirkan masa itu benar-benar telah tiba.
Tidak mudah untuk saya. Saya tahu ini bukan jalan yang mudah. Saya tahu ada kesan buruk kepada kerjaya saya. Tetapi ini adalah pilihan saya. Maka saya akan terus menulis. Dan tidak akan berhenti menulis.
Terima kasih atas sokongan keluarga khususnya pada isteri saya Dr Nur Atiqah yang sentiasa mengingatkan saya tentang tanggungjawab saya adalah membantu negara melalui jalan ilmu pendidikan.
Selalu saya ingat kata -kata beliau,
"Jangan sesekali berhenti menulis dan berkongsi pandangan tentang pendidikan dengan masyarakat. 'Sudah menjadi adat orang berjuang, pasti akan ada cabaran dan halangan".
Anak-anak menjadi sebab saya terus menulis. Mereka adalah generasi masa depan. Saya mahu mereka dan semua anak-anak Malaysia terus mendapat pendidikan yang terbaik.
Hari ini saya benar-benar gembira.
Selepas ini, jiwa saya akan lebih tenang. Saya sudah mula rasainya.
Apa yang selama ini saya harapkan dari sebuah sistem pendidikan, hari ini telah mula saya nikmati.
******
Pentaksiran Berpusat dikembalikan di tahun empat sekolah rendah✅
Pentaksiran berpusat sekolah menengah tingkatan tiga dikembalikan ✅
Umur enam tahun anak-anak mula sekolah tahun satu✅
Prasekolah wajib pada umur lima tahun ✅
RM100 juta untuk naik taraf bilik guru dan kebajikan guru. ✅
Beban bukan pengajaran guru akan dikurangkan ✅
80% masa guru di sekolah adalah khusus untuk masa instruksional✅
JPN dan PPD diperkasakan sebagai institusi utama Reformasi Pendidikan. ✅
Bahasa Melayu dimartabatkan, isu UEC dinoktahkan✅
Bahasa Inggeris diperkasakan pada semua murid. ✅
Mata pelajaran Sejarah, Perlembagaan dan Rukunegara diperkukuhkan.✅
Semua sekolah dapat akses Internet dan peranti✅
Anak-anak miskin dan OKU terus diberikan perhatian. ✅
*****
Terima kasih PMX. YAB Dato Seri Anwar Ibrahim
Terima kasih YB Menteri KPM Fadhlina Sidek
Terima kasih Kementerian Pendidikan Malaysia

No comments:
Post a Comment