
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika sesi Waktu Pertanyaan Perdana Menteri (PMQT) di Dewan Rakyat pada 14 Ogos 2025. Foto Facebook Anwar Ibrahim
KUALA LUMPUR, 14 Ogos – Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan pelaksanaan rasionalisasi portfolio aset Petroliam Nasional Bhd (PETRONAS) dibuat tanpa campur tangan politik.
Perdana Menteri berkata, penilaian aset huluan PETRONAS dilakukan secara berterusan mengikut kebijaksanaan dan pertimbangan komersial syarikat minyak dan gas multinasional itu sendiri.
Memberi contoh, Ahli Parlimen Tambun itu berkata, pengembangan operasi PETRONAS di Kanada dilaksanakan berikutan potensi besar sumber gas sebanyak 50 trilion kaki padu.

“Harus kita faham keputusan dan kebijaksanaan seperti mana berlaku di Kanada, ini kerana operasi (di Kanada) menjadikan pasarannya strategik.
“Kekuatan rezab gas asli itu besar sekitar 50 trilion kaki padu (TCF) dan mula mengeksport, tetapi ia harus dilakukan bersama syarikat gergasi lain.
“Penilaian aset huluan seperti mana berlaku di Brazil penting dilakukan terus menerus, mengikut pengalaman. Kita serahkan kebijaksaaan dan pertimbangan komersial itu dan pelaburan kepada PETRONAS tanpa campur tangan politik. Mereka hanya melaporkan (kepada kerajaan),” katanya pada sesi Waktu Pertanyaan Perdana Menteri (PMQT) di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian menjawab soalan Datuk Muhammad Bakhtiar Wan Chik (PH-Balik Pulau) yang ingin tahu rasional pelaksanaan rasionalisasi portfolio aset PETRONAS.
– Oleh Latifah Arifin
No comments:
Post a Comment