Lapan individu sudah dirakam keterangan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) selepas didakwa memuat naik kandungan jelik terhadap Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim.
SKMM memaklumkan kandungan dimuat naik kesemua individu itu boleh membangkitkan kebencian dan persendaan terhadap institusi diraja khususnya Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-Raja.
Katanya, siasatan dijalankan susulan laporan diterima dan pasukan penyiasat melakukan siasatan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara setahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
“Operasi pemeriksaan dilakukan di enam negeri iaitu Kuala Lumpur, Terengganu, Kedah, Kelantan, Perlis dan Pahang.
“Lapan unit telefon pintar dan lapan unit kad sim yang berkaitan dengan kes disita bagi membantu siasatan.
“Analisis forensik akan dijalankan ke atas peranti berkenaan untuk mendapatkan keterangan bagi membuktikan kes,” menurut kenyataan itu.
SKMM mengingatkan orang ramai mengamalkan sikap bertanggungjawab semasa memuat naik kandungan di media sosial dan perkhidmatan pesanan internet.
Orang ramai juga diingat tidak menggunakan perkhidmatan rangkaian dan aplikasi dalam talian untuk menyebarkan kandungan berunsur palsu serta kebencian, yang bertentangan nilai dan norma budaya masyarakat majmuk di Malaysia.
No comments:
Post a Comment