Tujuh pertuduhan terhadap Muhyiddin dibicarakan bersekali



 

Kes perbicaraan presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin membabitkan tujuh pertuduhan dibicarakan bersekali.

Tujuh pertuduhan tersebut terdiri daripada empat pertuduhan salah guna kuasa dan tiga tuduhan menerima dana aktiviti haram membabitkan penerimaan dana RM232.5 juta untuk Bersatu.


Hakim Azura Alwi membenarkan perbicaraan Bersama kerana seksyen 165 Kanun Prosedur Jenayah membolehkan pertuduhan dibicarakan bersama sekiranya ia berkaitan satu sama lain.


“Ia juga akan menjimatkan masa dan sumber mahkamah,” katanya ketika membacakan penghakimannya.

Azura berkata selaras proses undang-undang pihak pendakwaan mesti terlebih dahulu mewujudkan kes prima facie dan kemudian membuktikan kesnya di luar keraguan munasabah untuk mendapatkan sabitan.


“Tertuduh juga tidak akan merasa prejudis kerana dia akan dibenarkan membela diri pada masa sesuai,” katanya.


Pada 10 Mac 2023, Muhyiddin didakwa atas empat tuduhan salah guna kuasa berkait program Jana Wibawa, untuk mendapatkan RM232.5 juta bagi partinya, Bersatu.


Muhyiddin didakwa mengikut Seksyen 24 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 atas kesalahan salah guna kuasa yang dikatakan dilakukannya di Pejabat Perdana Menteri antara 8 Feb dan 20 Ogos 2021.


Beliau juga berdepan dua pertuduhan menerima wang hasil daripada aktiviti haram berjumlah RM195 juta daripada Bukhary Equity Sdn Bhd, yang dimasukkan ke akaun CIMB Bank milik Bersatu di CIMB Bank Cawangan Menara KL, Jalan Stesen Sentral di sini antara 25 Feb dan 16 Julai 2021 serta 8 Feb dan 8 Julai 2022.


Muhyiddin juga dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Shah Alam pada 13 Mac lepas tahun lepas atas pertuduhan menerima wang hasil aktiviti haram berjumlah RM5 juta dan kes itu dipindahkan ke Mahkamah Sesyen di sini untuk dibicarakan bersama.