LONDON, 16 Jan – Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Malaysia perlu berada antara lokasi penting dalam radar para pelabur dunia.
Perdana Menteri yang sedang melakukan lawatan kerja di London, United Kingdom (UK) berkata, ia kerana kestabilan politik dan kesiapsiagaan Malaysia menjadi asas penting untuk menyahut perubahan teknologi dunia.
Antaranya menerusi Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP) yang menjadi saluran kritikal untuk mengembang dan memudahkan pelaburan serta perdagangan antara Malaysia dan United Kingdom (UK).
“Malah saya memilih untuk merakamkan penghargaan saya kepada Perdana Menteri UK kerana berjaya menyertai perjanjian CPTPP.
”Ia merupakan komitmen politik yang serius bagi UK dan Malaysia, memberi tumpuan kepada asas ekonomi demi kepentingan kedua-dua negara untuk menggalakkan perdagangan bebas.
“Sewaktu berucap pada pelancaran produk oleh YTL Group UK, saya maklumkan hadirin bahawa kestabilan politik dan kesiapsiagaan untuk menyahut perubahan teknologi dunia ketika ini adalah penting untuk menarik minat dan tumpuan para pelabur.
“Malaysia antara lokasi penting yang perlu berada dalam radar para pelabur dunia mengambil kira dua faktor tersebut selain polisi kerajaan yang kritikal terhadap soal tenaga, kecerdasan buatan dan industri semikonduktor,” katanya dalam satu hantaran di media di sosial hari ini.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, Malaysia memerlukan sokongan para pelabur tempatan dan luar negara untuk refleksi transisi kemajuan ekonomi dan kejayaan.
Menurut beliau, ia perlu disokong dengan faktor kestabilan dan keharmonian benua ASEAN yang dahagakan sinergi pelaburan serta perdagangan baharu.
Terdahulu Anwar memulakan lawatan kerja di London, UK semalam dengan mengadakan mesyuarat dua hala bersama rakan sejawat, Keir Starmer.
Perdana Menteri menerima jemputan Starmer ke London bagi memperkukuhkan lagi hubungan antara kedua-dua negara dalam pelbagai bidang.