KUALA LUMPUR, 16 Jan – Dalam era globalisasi tanpa sempadan kini, para ibu bapa digesa agar lebih memahami kepentingan melindungi anak-anak mereka daripada menjadi mangsa eksploitasi di media sosial kerana persekitaran digital yang semakin berkembang membawa risiko yang besar terhadap keselamatan mereka.
Mereka perlu dibimbing tentang risiko yang dihadapi setiap kali melayari internet di media sosial selain melakukan kawalan kendiri terhadap kandungan yang bersesuaian dengan usia dan pemikiran mereka.
Walaupun menawarkan platform bagi komunikasi, perkongsian maklumat dan pembelajaran, ia juga menjadi sarang ancaman jenayah dalam talian seperti buli siber, penipuan dan pengantunan seksual.
Menurut statistik Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) menunjukkan bilangan kes berkenaan meningkat pada tahun lalu berbanding tahun sebelum itu iaitu sebanyak 1,567 kes dilaporkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM), peningkatan sebanyak 26.5 peratus daripada 1,239 kes pada 2022.
Anak-anak, terutamanya yang masih di bawah umur, kurang matang dalam menilai risiko ini dan boleh menjadi sasaran mudah bagi pihak yang tidak bertanggungjawab. Justeru, ibu bapa perlu memainkan peranan aktif dalam memantau aktiviti anak-anak mereka di media sosial dan memberi pendidikan secukupnya mengenai cara-cara melayari internet dengan selamat.
Ini disokong Ahli Parlimen Bukit Bendera Syerleena Abdul Rashid yang dipetik sebagai berkata pelaksanaan operasi bersepadu Op Pedo oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) baru-baru ini mendedahkan realiti membimbangkan dalam kalangan masyarakat.
“Internet yang dahulunya diraikan sebagai ruang ilmu tanpa batas, kini menjadi medan gelap bagi mereka yang berniat mengeksploitasi kanak-kanak.
“Daripada pemangsa yang berlindung di sebalik profil tanpa nama kepada kandungan berbahaya dikaburi sebagai hiburan, kanak-kanak kini terdedah kepada ancaman yang mengancam keselamatan dan kesejahteraan mereka,” katanya.
Dalam konteks ini, peranan Lesen Kelas Pemberian Perkhidmatan Aplikasi (APS(C)) yang bermula pada 1 Januari 2025 merupakan langkah terbaik dalam melindungi mereka dari aspek perundangan dan ia wajar difahami ibu bapa.
Ia memberi kuasa kepada penyedia perkhidmatan aplikasi untuk memastikan keselamatan pengguna, terutamanya kanak-kanak melalui mekanisme tertentu bagi melindungi identiti serta data peribadi yang dikongsi dengan penyedia platform.
Ini ditambah lagi dengan kenyataan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) yang mengingatkan ibu bapa untuk memastikan anak-anak mereka yang berusia bawah 13 tahun tidak memiliki sebarang akaun media sosial seperti TikTok, Facebook, Instagram atau mana-mana akaun media sosial lain.
Lesen ini juga memastikan bahawa aplikasi yang digunakan oleh anak-anak mematuhi peraturan keselamatan yang ditetapkan, seperti pengumpulan data yang tidak melanggar privasi dan perlindungan daripada kandungan yang tidak sesuai.
Pemahaman dan pendidikan mendalam amat perlu sesuai dengan peranan pelesenan yang berfungsi untuk memastikan anak-anak mereka hanya menggunakan aplikasi yang terjamin keselamatannya.
Memastikan internet selamat buat kanak-kanak sudah pastinya merupakan cabaran besar namun dengan mekanisme pendidikan dan pengetahuan, ia dapat melindungi anak-anak mereka sehingga meningkat dewasa kelak.