Memulakan lawatan kerja di Perak pagi ini dengan meraikan sambutan Tahun Baharu Cina di Majlis Rumah Terbuka Dewan Perniagaan dan Industri Cina Negeri Perak (PCCCI) di Ipoh.
Terima kasih atas sambutan begitu meriah dan keunikan persembahan muzik yang menggabungkan kesenian pelbagai kaum, menggambarkan semangat sambutan Tahun Baharu Cina yang diraikan oleh pelbagai kaum di Malaysia.
Ketika berucap, saya gesa seluruh rakyat ini mengutamakan kepentingan negara tanpa mengira kaum, agama, negeri dan wilayah dalam usaha meningkatkan ekonomi dan kesejahteraan negara. Usaha ini tidak harus terikat dengan kepentingan kaum atau wilayah yang cuba dimainkan kelompok kecil untuk memecahbelahkan perpaduan rakyat.
Isu-isu yang melingkari rakyat adalah masalah bersama. Kerana itu Kerajaan MADANI melancarkan inisiatif seperti Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA), yang dinaikkan kepada RM13 bilion tahun ini, kepada rakyat tanpa mengira kaum bagi meringankan beban peningkatan kos sara hidup yang melanda seluruh dunia.
Kerajaan juga putuskan untuk meningkatkan gaji penjawat awam bermula tahun ini kerana tiada kenaikan kepada mereka sejak 12 tahun lalu. Tatkala Kerajaan ini menuntut penjawat awam meningkatkan kecekapan, kepantasan dan kecekapan, pengiktirafan ini wajar diberikan kepada mereka.
Semua inisiatif ini hanya mampu dilaksanakan kerana ekonomi negara yang semakin kukuh hasil kestabilan politik dan perpaduan dalam kalangan rakyat. Negara ini punya potensi baik sekiranya kita berusaha memartabatkan negara dengan kepentingan yang sama, ketimbang mencetus pergaduhan yang merosakkan.
#MalaysiaMADANI
#MADANIbekerja
No comments:
Post a Comment