Pertemuan PM Anwar-Presiden Prabowo Bincang Perkukuh Hubungan Malaysia-Indonesia

 



Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim meraikan Presiden Indonesia, Prabowo Subianto dalam majlis makan tengah hari di Rumah Tangsi, Kuala Lumpur pada Khamis. Foto Bernama

KUALA LUMPUR, 9 Jan – Perbincangan tertutup empat mata antara Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden Indonesia, Prabowo Subianto yang memfokuskan kepada usaha mengukuhkan hubungan dua hala diadakan di sini pada Khamis.

Pertemuan diadakan pada majlis makan tengah hari secara tertutup yang dihoskan oleh Anwar di Rumah Tangsi, sebagai sebahagian daripada lawatan kerja Prabowo selama sehari ke Malaysia.

Ini adalah lawatan kerja pertama Prabowo ke Malaysia sejak memegang jawatan pada 20 Oktober 2024 menggantikan Joko Widodo yang tamat dua penggal pemerintahan penghujung April 2024.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengiringi kepulangan Presiden Indonesia Prabowo Subianto di Kompleks Bunga Raya Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Sepang pada Khamis. Foto Bernama

“Lawatan ini mencerminkan hubungan istimewa antara Malaysia dan Republik Indonesia yang ditunjangi oleh kerjasama kukuh dalam pelbagai bidang, termasuk ekonomi, sosiobudaya, pertahanan dan keselamatan,” kata kenyataan Kementerian Luar yang juga dikenali sebagai Wisma Putra, hari ini.

Sebaik majlis makan tengah hari selesai, Anwar dilihat menaiki kereta bersama Prabowo yang berlepas dari Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Turut menyertai delegasi Prabowo ialah Menteri Luar Indonesia, Sugiono.

Indonesia ialah rakan dagang ketujuh terbesar Malaysia di peringkat global dan ketiga terbesar dalam kalangan negara anggota ASEAN pada 2023.

Jumlah dagangan antara kedua-dua negara mencecah RM111.21 bilion (AS$24.39 bilion) tahun lalu.

Bagi tempoh Januari hingga Oktober 2024, dagangan dua hala bernilai RM95.50 bilion (AS$20.75 bilion), berbanding RM94.37 bilion (AS$20.69 bilion) bagi tempoh yang sama pada 2023.