KECOH VIDEO PELANCONGAN TIADA MASJID


Zulkarnain Luqman









Selepas isu titah adendum nampaknya semakin hari semakin bertalu-talu perkara yang berbentuk 3R ini dijadikan isu. Isu terbaharu adalah kontroversi tiada gambar masjid dalam montaj video 41 Kementerian Pelancongan. Sebaliknya video itu menunjukkan pula gambar gereja dan kuil. 


Maka, bertalu-talu netizen sama ada penyokong pembangkang atau kerajaan membuat lontaran bahawa Kementerian Pelancongan tidak sensitif dengan agama Persekutuan dan umat Islam di Malaysia. Kononnya, perbuatan itu menunjukkan kerajaan madani ini anti Islam dan tidak peka dengan syiar orang Islam. 


Hello saudara!!!


Apakah Islam itu setakat dalam video? Masjid ada di serata ceruk pelusuk Malaysia daripada Perlis hingga ke Sabah. Apakah setakat tiada gambar video montaj Tahun Melawat Malaysia 2026 itu maka hilang syiar Islam. Semenjak bila pula hendak digambarkan pelancongan ke Malaysia ini pelancongan ke masjid.


Syiar sebenar masjid adalah apabila penganutnya berpusu-pusu datang untuk solat jemaah di masjid dan surau. Kemakmuran masjid itu apabila ada orang yang datang beribadat. Masjid yang suram tanpa imam dan makmum itu adalah tandanya syiar Islam itu sudah terperosok.


Orang yang banyak mencemuh Kementerian Pelancongan itu sendiri pun belum tentu lagi memakmurkan masjid dengan solat jemaah. Entah-entah orang itu pun hanya datang waktu hari Jumaat sahaja. Entah dia pun datang ke masjid tatkala imam sudah berkhutbah dan hanya mendapat pahala sebutir telor ayam.


Bukannya kita tidak bersetuju jika hendak masukkan gambar masjid dalam video pelancongan. Namun, video pelancongan itu hanya satu video pendek dan bukan itu sahaja video yang boleh dibuat. Kementerian boleh sahaja membuat video lain yang menunjukkan gambar-gambar masjid yang boleh dikunjungi. Itu belum masuk lagi bab masjid yang mesra pelancong asing terutama pelancong yang bukan Islam yang sudah pastinya tidak menutup aurat dengan sempurna. 


Mengkritik bukan menghentam adalah satu seni. Rakyat di Malaysia ini bebas bersuara tetapi janganlah sehingga melampaui batasannya. 


Dahulu pun apabila beberapa pemimpin DAP seperti Hannah Yeoh dan Yeo Bee Yin datang ke masjid dengan bertudung pun menjadi kecoh kononnya mereka mencemarkan kemuliaan masjid.


Beberapa hari lepas pun tular kisah seorang pesakit mental yang menyerbu masuk masjid di Taman Tun Dr Ismail dan ditendang oleh seorang jemaah masjid. Apabila diberikan penjelasan bahawa orang itu sakit mental dituduh pula pihak berkuasa mereka-reka cerita. Mujurlah imam masjid itu datang memberikan penjelasan dan keadaan menjadi reda semula. Namun, berita itu telah tular kononnya orang bukan Islam sengaja ingin mencemarkan kemuliaan masjid dan yang dipersalahkan tentulah PMX, Anwar Ibrahim.  


Jadi sebenarnya cara berfikir netizen di Malaysia ini sudah tenat. Mereka hanya melihat lontaran cemuhan ahli politik pembangkang dan terus tersentak. Otak mereka seperti sudah terpahat hitam dan putih. Jika kamu hitam maka kamu sudah rosak. Jika kamu putih maka kamu masuk syurga. 


Pemikiran ini adalah bertitik tolak daripada fahaman yang melampau puak khawarij. Mereka melihat mereka sahaja yang Islam. Mereka tidak melihat Islam yang syumul yang penuh rahmah dan murni. Pemikiran sebegini perlu diperangi sebelum ianya bertambah parah dan merebak menjadi kepada tindakan fizikal yang melampau. Kita khuatir satu hari nanti jika perbuatan melampau ini tidak dikawal dengan tegas menerusi perundangan maka keadaan sudah semakin gawat dan merebak sehingga membahayakan negara dan rakyat.