KENYATAAN MEDIA MENTERI DI JABATAN PERDANA MENTERI (HAL EHWAL AGAMA) BERKAITAN PELAKSANAAN SOLAT HAJAT MENDOAKAN KEJAYAAN MISI YAB PERDANA MENTERI KE SIDANG KEMUNCAK TERGEMPAR DI RIYADH


 KENYATAAN MEDIA MENTERI DI JABATAN PERDANA MENTERI (HAL EHWAL AGAMA) BERKAITAN PELAKSANAAN SOLAT HAJAT MENDOAKAN KEJAYAAN MISI YAB PERDANA MENTERI KE SIDANG KEMUNCAK TERGEMPAR DI RIYADH


1. Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) ingin menyatakan sokongan padu kepada YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri atas ketegasan untuk membawa usul menghentikan kekejaman Israel terhadap Palestin pada Sidang Kemuncak Bersama Tergempar Negara-Negara Arab dan Islam pada 11 November ini di Riyadh, Arab Saudi.


2. Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) ingin menyarankan pelaksanaan solat sunat hajat khusus untuk mendoakan kejayaan misi YAB Perdana Menteri yang akan mewakili Malaysia dalam Sidang Kemuncak Bersama Tergempar Negara-Negara Arab dan Islam di Riyadh pada 11 November 2024.


3. Pelaksanaan solat hajat ini adalah untuk memohon doa dan perlindungan daripada Allah SWT agar perjalanan dan misi YAB Perdana Menteri mendapat keberkatan serta mencapai kejayaan demi manfaat negara dan ummah.


4. Masjid-Masjid Utama JAKIM iaitu Masjid Negara, Masjid Putra dan Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin adalah diminta untuk melaksanakan Solat Hajat iaitu selepas Solat Isyak bermula hari ini sehingga 11 November 2024. Manakala, semua masjid dan surau di Wilayah Persekutuan turut dimohon melaksanakan solat hajat untuk tempoh waktu yang sama.


5. Pelaksanaan solat hajat ini diharapkan dapat meningkatkan solidariti umat Islam di seluruh negara serta menyatukan hati rakyat Malaysia dalam mendoakan misi penting ini. YAB Perdana Menteri akan menyampaikan suara dan harapan negara di pentas antarabangsa dalam sidang kemuncak ini, yang dijangka turut membincangkan isu-isu kritikal melibatkan negara-negara Islam.


6. Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) mengajak seluruh umat Islam untuk bersama-sama menyertai solat hajat ini sebagai tanda sokongan dan solidariti kepada pemimpin kita serta turut mendoakan kesejahteraan para anggota Pasukan Batalion Malaysia (Malbatt) yang sedang bertugas di Lubnan. Semoga usaha kita diberkati oleh Allah SWT dan Malaysia terus kekal aman serta sejahtera di bawah lindungan-Nya.


Sekian, terima kasih.


SENATOR DATO’ SETIA DR. HJ. MOHD NA’IM BIN HJ. MOKHTAR

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama)


8 November 2024