Alhamdulillah hari ini, saya telah menghadiri Mesyuarat Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) Kali Ke-72, yang dipengerusikan oleh Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah ibni Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Maghfur-Lah.
Turut sama menghadiri mesyuarat ini adalah YB Senator Dato’ Setia Dr. Haji Mohd Na’im bin Haji Mokhtar, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), ahli yang dilantik mewakili negeri-negeri, pemimpin tertinggi kerajaan, serta semua ahli MKI yang dilantik mengikut kepada kepakaran masing-masing.
Mesyuarat ini adalah ruang dan wadah terbaik di antara institusi Raja bersama anggota pentadbiran Kerajaan dalam meneliti serta membincangkan isu-isu dan penyelarasan hal ehwal agama Islam di Malaysia, sementelah memberikan perhatian yang serius terhadap pembangunan insan dengan nilai ihsan, adab, dan wacana ilmu sebagai teras utama dalam memungkinkan tertegaknya Karamah Insaniah yang menjadi matlamat besar membangun tatanan yang madani.
Selaku Timbalan Pengerusi MKI, saya menzahirkan ucapan menjunjung kasih kepada Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak, mencemar Duli dan mempengerusikan Mesyuarat MKI Kali Ke-72 hari ini.
Semoga ikhtiar dan azam membangun dan mengangkat martabat Islam ini akan terus dipelihara demi maslahat umat dan negara.
#MalaysiaMADANI