Kita ambil iktibar.


Zainuddin Omar



Banyak kali saya kata, jikalau sudah bersara jangan sibuk bercita besar mahu buat bzness dan bekerja lagi. 


Enjoy your pension and enjoy life.  


**************

Dua individu termasuk Presiden Majlis Profesor Negara (MPN) Raduan Che Rose mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Shah Alam hari ini atas tujuh pertuduhan, masing-masing pecah amanah dan bersubahat, membabitkan nilai RM271,000 pada 2023 dan April lalu.


Menurut dua pertuduhan, Raduan, 64, selaku Presiden MPN didakwa secara tidak jujur meluluskan transaksi RM71,000 ke dalam akaun bank milik seorang profesor dikenali sebagai Kefli Mahpol, 65.


Sementara bagi lima lagi pertuduhan lain, Raduan sebagai Pengarah MPN Global Reach Sdn Bhd (Global Reach) didakwa secara tidak jujur melakukan pecah amanah terhadap wang pendahuluan program UKMShape-MPN Global Reach dengan mengeluarkan wang sebanyak RM200,000 kepada Kefli menerusi lima cek bank.


Perbuatan itu didakwa dilakukan Raduan pada 3 April dan 14 Mac 2023, serta 5, 8 dan 15 April lalu di Kajang.


Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara minimum dua tahun dan maksimum 20 tahun dan dengan sebat serta boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.


Dalam prosiding berasingan, Kefli didakwa dalam tujuh pertuduhan bersubahat dengan Raduan melakukan pecah amanah pada tarikh dan lokasi sama. 


Pertuduhan dikemukakan di bawah Seksyen 109 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan dengan sebat dan denda, jika sabit kesalahan.


Terdahulu, sebaik pertuduhan dibacakan, Raduan yang juga Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Teknologi MARA (UiTM), berkata dia sangat kesal dengan segala pertuduhan tersebut dengan kelulusan (berhubung pengeluaran wang) diberikan atas jawatan serta kapasitinya.


“Saya kesal dengan kesemua pertuduhan ini dan saya percaya tidak melakukan apa-apa kesalahan. 


Saya masih terkejut (dengan pendakwaan itu),” katanya.


Pendakwaan dikendalikan timbalan pendakwa raya dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Law Chin How, manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam Mohd Khairul Azam Abdul Aziz.


Hakim Anita Harun seterusnya menetapkan jaminan RM40,000 untuk setiap tertuduh bersama seorang penjamin, selain mereka perlu melapor diri di pejabat SPRM Putrajaya pada minggu pertama setiap bulan.


Mereka juga diarah tidak mengganggu atau menghubungi saksi pendakwaan.


Mahkamah kemudian menetapkan tarikh sebutan semula kes itu pada 23 Okt ini.


- Bernama