Tanpa angin tanpa ribut, Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz dengan tak semena-mena mengumumkan perletakan jawatannya sebagai Bendahari UMNO Selangor.
Dalam satu hantaran di Facebook, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri itu berkata, beliau memilih untuk berundur kerana melihat perancangan kebangkitan parti itu di Selangor sebagai hambar dan tidak sehaluan dengan tema UMNO di peringkat Pusat.
Beliau berkata, Selangor adalah negeri yang amat penting untuk mana-mana parti politik bertapak dan strategi ampuh sepatutnya dirangka, lebih-lebih lagi selepas keputusan pilihan raya negeri tahun lalu.
“Ia sewajarnya menjadi tanda jelas bahawa sesuatu perubahan perlu dilaksanakan dengan segera.
“Saya melihat sendiri bagaimana Presiden UMNO (Ahmad Zahid Hamidi) dan kepimpinan nasional tidak henti-henti merangka jalan kebangkitan parti.
“Namun, sejauh mana hebat perencanaan Pusat, yang melaksana ada di negeri dan ke bawah.
“Saya tak mampu mengulas buat negeri lain, tetapi untuk negeri saya Selangor, pelaksanaan itu hambar malah ada ketika tidak sehaluan dengan tema di pusat,” katanya lagi.
Apa sudah jadi ni?
Bagaimana UMNO Selangor boleh tidak sehaluan dengan UMNO Pusat dalam gerak kerjanya sedangkan UMNO negeri itu diterajui oleh Megat Zulkarnain Omar Din yang merupakan Setiausaha Politik kepada Zahid Hamidi sendiri?
Oleh kerana yang membuat dakwaan itu adalah Bendahari UMNO Selangor sendiri, maka sukar untuk sesiapa pun menolaknya.
Apa yang nyata, selepas menerima keputusan buruk pada PRN lalu di mana UMNO Selangor hanya menang dua daripada 12 kerusi Dun yang ditandinginya, perletakan jawatan Tengku Zafrul ini tentunya merupakan satu lagi tamparan buat parti itu.
Maknanya, harapan UMNO untuk bangkit semula di Selangor sejak hilang kuasa pada 2008 lalu semakin jauh daripada gapaian.
Tak secara langsung, kelemahan dan kehambaran UMNO Selangor yang didedahkan oleh Tengku Zafrul ini sehingga beliau sendiri tidak sanggup lagi memegang jawatan utama di peringkat negeri, kelebihan kini mula terbentang buat PN.
Keputusan yang diambil oleh Tengku Zafrul bersama dakwaannya itu tentunya akan membuatkan rakyat atau pengundi Selangor semakin tidak yakin kepada UMNO.
Dengan PN berjaya memenangi 22 daripada 56 kerusi di Dun Selangor, jauh meninggalkan UMNO yang hanya mampu menang dua kerusi saja, harapan mahu melihat UNNO kembali gah di negeri itu barangkali tinggal impian saja.
UMNO Selangor akan terus dihanyutkan oleh PN untuk beberapa PRU atau PRN akan datang dan kepada Tengku Zafrul, selepas tamat tempoh Senator nanti, eloklah cari kapal lain jika ingin terus berlayar dalam perjuangan politik di negeri itu. – ShahbudinHusin 01/04/2024.
https://shahbudindotcom.net/2024/04/01/umno-selangor-akan-terus-hanyut.html