SOP perlombongan NR-REE dihantar ke Kerajaan Negeri


 

Oleh: Abdullah Zaid



Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam telah mengedar prosedur operasi standard (SOP) Perlombongan mineral unsur nadir bumi bukan radioaktif (NR-REE) ke Kerajaan Negeri bagi tujuan mengawal selia aktiviti perlombongan mineral.



Menterinya Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, sebarang pemakaian SOP aktiviti perlombongan itu masih tertakluk kelulusan dan penyelarasan Kerajaan Negeri.



"Selain itu, kementerian melalui Jawatankuasa Pemandu telah memuktamadkan Kajian Cadangan Model Perniagaan (Business Model) Bagi Pembangunan Industri NR-REE di Malaysia daripada peringkat huluan sehingga ke peringkat hiliran.



"Ia seterusnya, akan membentangkan hasil kajian tersebut bagi mendapatkan kelulusan di peringkat Mesyuarat Jemaah Menteri," katanya menerusi Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.



Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Dr Ku Abd Rahman Ku Ismail (PN-Kubang Pasu) mengenai kemajuan REE negara selain langkah kerajaan menanggani REE di kawasan Hutan Simpanan Kekal (HSK).



Mengulas lanjut, Nik Nazmi berkata kajian tersebut akan memberikan kefahaman jelas terhadap keseluruhan ekosistem industri NR-REE di Malaysia, serta boleh dijadikan rujukan dan panduan dalam pembangunan industri berkenaan.



"Melihat kepada potensi industri ini, kerajaan juga mengalu-alukan pelaburan dari dalam dan luar negara untuk membangunkan sumber NR- REE melalui perkongsian strategik terutamanya dalam sektor pertengahan dan hiliran, penyelidikan, pembangunan, pengkomersialan dan inovasi (R&D&C&I) dan juga pemindahan pengetahuan dan teknologi," katanya.



Namun, menurut Nik Nazmi dasar kementerian pada ketika ini masih tidak membenarkan perlombongan dijalankan dalam kawasan HSK berpandukan komitmen Malaysia untuk mengekalkan sekurang-kurangnya 50% daripada keluasan tanah negara sebagai hutan.



"Walau bagaimanapun, dalam perbincangan di peringkat Majlis Mineral Negara dan Mesyuarat Menteri Besar dan Ketua Menteri, termasuk Perdana Menteri telah meminta kementerian memperhalusi serta menilai kebolehlaksanaan aktiviti perlombongan NR- REE dalam HSK melalui pembangunan projek perintis perlombongan di HSK," ujarnya.

 

No comments: