DANA 1MDB DIGUNA BELI HARTANAH DI LONDON, NEW YORK – SAKSI

 


Bekas peguam 1MDB Jasmine Loo memberitahu Mahkamah Tinggi hari ini, sejumlah USD15 juta yang datangnya daripada 1MDB dimasukkan ke dalam dua akaun bank berpangkalan di Switzerland sebelum digunakan untuk membeli hartanah di London dan New York.

Ketika memberikan keterangan dalam perbicaraan 1MDB Najib Razak, Loo berkata, USD9 juta dimasukkan ke dalam akaun Falcon Bank antara 2012 dan 2013.

“Wang ini dimasukkan oleh Jho Low,” katanya ketika diperiksa balas oleh peguam Shafee Abdullah.

Loo, yang meninggalkan negara pada 2018 tetapi kembali pada Julai lepas berkata, dia penandatangan yang diberi kuasa atas akaun-akaun tersebut dan mempunyai kawalan ke atasnya.

Katanya, Jabatan Kehakiman (DoJ) Amerika Syarikat memulakan prosiding mahkamah dan akhirnya melucutkan hak ke atas semua wang dalam akaun tersebut serta kedua-dua hartanah dengan persetujuannya.

“Yuran guaman saya dibayar daripada akaun-akaun tersebut,” katanya.

Disoal lanjut oleh Shafee, Loo berkata, Low mendakwa wang itu bukan datangnya daripada 1MDB, tetapi siasatan DoJ mendapati sebaliknya.

Menurut Loo, hartanah di London, yang dibeli pada 2014, bernilai £1.8 juta.

“Wang itu datang daripada akaun Falcon Bank,” katanya sambil menambah, hartanah terbabit diubah suai untuk disewa.

“Bagaimanapun, ini tidak dilakukan kerana media melaporkan isu 1MDB dengan meluas pada 2015.”

Loo yang juga saksi pendakwaan ke-50 berkata, hartanah di New York itu bernilai USD4.5 juta.

Katanya, Low memberitahunya bahawa dia telah mengatur USD15 juta untuk pelaburan menerusi pelbagai entiti seperti Affinity Equity Investment dan Blackstone Real Estate Corporation.

“Saya kini dapat tahu bahawa Eric Tan (rakan kongsi Low) terlibat dalam pelaburan menerusi salah satu syarikat itu,” katanya.

Menurut DoJ, lebih USD4 bilion dicuri daripada 1MDB dan dibelanjakan untuk membeli karya seni, berlian dan hartanah.

Ditanya sama ada Low cuba mengesahkan hasil yang menyalahi undang-undang menerusi pembelian itu, Loo menjawab: “Low orang kaya. Dia juga menguruskan dana untuk orang Arab. Saya tidak tahu dia (Low) melakukan semua ini.”

Loo turut menolak cadangan Shafee bahawa dia membuat perjanjian dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memandangkan dia menghadapi dua tuduhan pengubahan wang haram.

Pada 2018, Loo didakwa secara in absentia atas tuduhan pengubahan wang haram membabitkan sejumlah USD5.99 juta.

Loo berkata, dia menyerahkan perkara itu kepada peguamnya dan tidak hadir ke mahkamah untuk kes itu.

Shafee: Adakah anda tahu status kes itu?

Loo: Saya bersedia membela diri.

Shafee: Adakah anda memberi keterangan yang tidak berpihak kepada Najib dengan harapan tuduhan (anda) digugurkan?

Loo: Saya tidak setuju (dengan cadangan itu).

Najib berdepan 25 tuduhan pengubahan wang haram dan salah guna kuasa berkait dana didakwa milik 1MDB yang dimasukkan ke dalam akaun AmBanknya antara Februari 2011 dan Disember 2014.

Sumber – https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2024/03/15/dana-1mdb-diguna-beli-hartanah-di-london-new-york-kata-loo/