DAKWAH BUKAN SEKADAR BERJAYA ISLAMKAN ORANG


Jamzuri Ardani


 Ada kawan saya perli saya, "yang ko dok back up sangat orang kafir ni, berapa ramai yang ko dah berjaya Islamkan?"


Dia gini.  Dakwah ni bukan bermaksud kita berjaya Islamkan non-muslim.  Hidayah itu urusan Allah SWT. 


Dakwah itu juga bermaksud kita membina suasana yang kondusif supaya rakyat pelbagai bangsa dan anutan agama boleh berinteraksi dengan harmoni dan selesa. Kita robohkan tembok yang memisahkan. Kita jadikan agama Islam itu inklusif. 


Kesannya bukan esok lusa. Bukan sebulan dua.  Malah mungkin tidak terjadi dalam generasi yang sama.  


Sembilan orang Wali Songo ambil masa ratusan tahun untuk mengislamkan seluruh kepulauan Jawa dan sekitarnya dari anutan agama Hindu. 


Satu perkara yang mungkin kita perlu belajar dari uslub dakwah Wali Songo ialah betapa mereka tidak membina tembok antara diri mereka dan sasaran dakwah. Mereka mengubah nama Arab mereka dengan nama Jawa.  Padahal 'Jawa' pada waktu itu sinonim dengan Hindu. 


Maulana Malik jadi Sunan Gresik. Raden Rahmat jadi Sunan Ampel. Maulana Mokhdam jadi Sunan Bonang. Mereka berkahwin dengan wanita Jawa dan hidup dalam keluarga dan masyarakat Jawa. 


Kenapa tidak pertahankan identiti? Kenapa perlu terikut-ikut dengan identiti orang kafir? Bukan sekadar nama.  Malah ada Wali yang membina masjid dengan seni bina seolah-olah bentuk kuil Hindu. Cuma tiada patung. Ada yang mencipta muzik gamelan beserta tariannya untuk menarik sasaran dakwah kepada agama. Untuk apa semua itu mereka lakukan? 


Bagi saya, itu mungkin penting untuk meruntuhkan tembok prasangka dan tembok identiti bagi memboleh dakwah berkembang dalam suasana yang lebih kondusif. 


Kita jangan lupa, sebelum itu pedagang Arab sudah berpengkalan  di Pasai selama 200 tahun tetapi mereka masih gagal menarik penduduk utara Sumatera kepada Islam. 


Kegagalan mereka ialah kerana ketidakupayaan mereka meruntuhkan tembok identiti Arab Islam mereka di hadapan kelompok sasaran dakwah.  Mereka selesa bergaul dgn sesama orang Arab, berkahwin sesama mereka, berbudaya seharian dengan budaya Arab Islam. Islam mereka jadi eksklusif hanya untuk mereka. 


Saya fikir inilah juga antara faktor penghalang penyebaran dakwah di Malaysia hari ini. Tembok identiti yang menghalang dakwah. 


Kita berbudaya dengan budaya identiti. Kita bergaulan dengan pergaulan identiti, bahasa identiti, ekonomi identiti, politik identi, dan agama identiti.  Identiti mengatasi nilai dan ajaran agama. Identiti mengatasi dakwah. 


Bila saya cuba mencadangkan supaya tembok identiti ini dibuka, supaya Islam menjadi lebih inklusif ... disaat itu saya akan dilabel sebagai penyokong kafir, munafik, khadam, dan seumpamanya.



No comments: