SUBSIDI BERSASAR DALAM BENTUK PINDAHAN TUNAI – RAFIZI

 

Kerajaan dijangka mempertimbangkan pemberian subsidi bersasar dalam bentuk pindahan tunai secara bulanan, kali pertama ditawarkan kepada rakyat berbanding sebelum ini, kata Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli. 

Berbanding sebelum ini, subsidi kerajaan diserap terus ke dalam harga barangan yang dinikmati semua pengguna tanpa mengira tahap pendapatan serta status kerakyatan, termasuk rakyat asing.

“Cadangan yang diangkat kepada kerajaan sekarang sedang dibincangkan dan yang akan diputuskan ialah bantuan dalam bentuk pindahan tunai secara bulanan.

“Sebelum ini, kalau ada bantuan kerajaan lain, kita bagi tiga atau empat bulan sekali melalui e-wallet dan sebagainya,” kata Rafizi. 

Menjelaskan demikian pada sesi dialog awam berkenaan Pangkatan Data Utama (PADU) di Pusat Konvensyen Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) semalam, Rafizi berkata, cadangan berkenaan sesuatu yang tidak pernah ditawarkan kepada rakyat sebelum ini. 

“Melalui PADU, kita mahu ada reformasi bantuan sosial rakyat untuk jangka masa panjang. Sebab itu, melalui model pindahan tunai bulanan, ia lebih kurang seperti tambahan gaji bulanan, RM300 atau RM400 sebulan, bergantung kepada keadaan,” katanya yang juga Ahli Parlimen Pandan. 

Sementara itu, beliau berkata, kerajaan tidak boleh menunda tarikh tutup pendaftaran PADU kerana perlu mematuhi jadual piawaian yang telah ditetapkan atau terpaksa menanggung sekurang-kurangnya RM2 bilion sebulan sekiranya pelaksanaan subsidi bersasar ditangguhkan. 

“Kos itu sangat tinggi dan itu pun jangkaan secara konservatif, sedangkan lebih baik sekiranya RM2 bilion itu disalurkan kepada keluarga yang memerlukan,” katanya.

Sebelum ini, katanya, Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim juga mengumumkan dalam Belanjawan 2024, kerajaan akan melakukan penstrukturan semula subsidi pukal dan ke arah subsidi bersasar. 

“Kalau kita lanjutkan, itu bermakna kita akan terus menolak garis masa pelaksanaan itu ke belakang,” katanya sambil menambah, tumpuan kerajaan bukan sekadar menjaga harga barangan semata-mata, sebaliknya menangani kos sara hidup menerusi usaha meningkatkan pendapatan bulanan isi keluarga.

Untuk penjawat awam, katanya, kerajaan dalam usaha memuktamadkan kenaikan gaji, manakala bagi swasta diperkenalkan Dasar Gaji Progresif supaya gaji dapat dinaikkan. 

“Untuk keluarga yang patut dapat bantuan pula, walaupun gaji naik, tapi masih tak cukup, apa kerajaan perlu buat? 

“Sebab itu melalui model pindahan tunai bulanan, ia lebih kurang seperti tambahan gaji bulanan, iaitu RM300 atau RM400 sebulan, bergantung kepada keadaan,” katanya. 

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata, pegawai Kementerian Ekonomi akan bertemu wakil kerajaan Sarawak bagi membincangkan isu pendaftaran PADU, susulan arahan agar pendaftaran sistem itu untuk kakitangan kerajaan negeri berkenaan ditangguhkan. 

“Sarawak antara negeri yang paling tinggi pendaftaran. Saya ingat ada beberapa pandangan daripada anggota Kabinet Sarawak yang menyebabkan arahan itu (penangguhan). 

“Kita telah menghubungi kerajaan Sarawak dan minggu depan kita akan duduk bersama untuk berbincang. 

“Bagaimanapun, ia tidak menjejaskan pendaftaran PADU bagi penduduk. Pendaftaran boleh diteruskan melalui portal PADU seperti biasa,” katanya. 

Beliau mengulas laporan media yang memetik Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah meminta beberapa perubahan dibuat berkait maklumat peribadi yang diminta diisi dalam sistem PADU. 

Abdul Karim mengibaratkan pendaftaran PADU seperti ‘menelanjangkan diri’ apabila mendedahkan semua butiran peribadi individu termasuk akaun bank, hartanah dan pelaburan. 

Dalam perkembangan berkaitan, Rafizi menafikan khabar angin subsidi petrol akan ditarik balik sebelum Aidilfitri. 

“Tak betul, kalau tarikh tutup (pendaftaran PADU) pada 31 Mac, mustahil akan ada sebarang keputusan mengenai subsidi petrol dan diesel kerana terlalu dekat. 

“Kerajaan juga umumkan sebelum ini pelaksanaan subsidi bersasar akan berlangsung pada suku kedua ke atas. 

“Ini kerana bila lihat garis masa, kita memang perlu suku pertama kira-kira empat ke lima bulan pertama menyelesaikan sistem sokongan untuk bantuan kepada orang ramai,” katanya.

Sumber – https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2024/03/1227165/kerajaan-kaji-subsidi-bersasar-secara-pindah-tunai-bulanan

 


No comments: