Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kerajaan akan mengumumkan
keputusan muktamad harga kawalan beras pada minggu depan.
Perdana Menteri berkata perkara itu menjadi agenda utama Mesyuarat
Jawatankuasa Pemantauan Pelaksanaan Majlis Tindakan Sara Hidup (NACCOL).
"Kita tangguh mesyuarat NACCOL ke minggu depan, di mana kita
akan putuskan secara muktamad tentang harga beras yang dikawal.
"Walaupun ia (harga) tidak boleh rendah sangat, namun saya
yakin boleh dikurangkan jika kita lihat semula dan teliti bekalan dapat dari
mana, siapa kontraktor dan berapa banyak keuntungan mereka," katanya
ketika berucap dalam Program Jualan Termurah MADANI di Bandar Perda, Bukit
Mertajam hari ini, petik Bernama.
Rabu lalu, Pengerusi Task Force (Kluster Makanan) di bawah NACCOL
Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal mengumumkan harga siling beras
putih sebanyak RM30 bagi pek 10 kilogram.
Harga beras tunggal dikenali Beras Putih Malaysia Madani itu
berkuat kuasa 19 Februari ini dan berada di pasaran bermula 1 Mac.
Pengumuman itu sekali gus bermakna penghapusan kategori Beras
Putih Tempatan (SST) yang ditetapkan harga RM26 bagi pek 10kg dan Beras Putih
Import (SSI).
Kaedah itu dilihat sebagai penyelesaian menurunkan harga beras
yang meningkat hingga melebihi RM35 ketika mana beras tempatan terus hilang
daripada pasaran.
Anwar yang juga Menteri Kewangan mengingatkan ‘orang tengah’ agar
tidak mengaut keuntungan terlalu tinggi kerana ia akan menyebabkan harga beras
di pasaran melambung.
Perdana Menteri berkata isu geopolitik yang berlaku di Terusan
Suez turut memberi tekanan kepada harga barangan sehingga mempengaruhi
perdagangan global.
"Kita faham tindakan Houthi di Yaman, tapi ini juga
menyebabkan kos naik. Laluan ini terhalang disebabkan kemarahan rakyat terhadap
kezaliman Israel dan perang di Gaza.
"Namun kita tidak akan jadikan ini alasan dan kerajaan
Malaysia akan mencari jalan sedaya upaya untuk kurangkan beban rakyat melalui
inisiatif seperti Jualan Rahmah dan Jualan Termurah MADANI, selain memberi suntikan
melalui bantuan-bantuan seperti Sumbangan Tunai Rahmah dan eBelia Rahmah,"
katanya.
Terdahulu Perdana Menteri mengadakan tinjauan dan menyantuni
peniaga serta pengguna di Jualan Termurah MADANI dan turut melancarkan jualan
beras putih MADANI pada majlis tersebut.
Beras putih MADANI bungkusan 10 kilogram, dijual pada harga RM30
dan lebih 1,000 bungkusan dijual pada program hari ini.
Anwar berkata harga jualan itu jauh lebih murah berbanding di
pasaran kerana platform seperti ini mengurangkan peranan orang tengah.
"Inflasi kita secara umumnya rendah tapi rakyat masih
mengeluh, oleh itu kita mesti cari jalan sedaya upaya untuk mengurangkan
tekanan mereka," katanya.