KEB2024: Menuju penyelesaian tuntas agenda ekonomi Bumiputera




 

Oleh Noraini Nordin



ULASAN BERITA: Kongres Ekonomi Bumiputera 2024 atau KEB2024 akan diadakan pada 29 Februari hingga 2 Mac depan.



Ini adalah Kongres Ekonomi Bumiputera kali ketujuh pernah diadakan di negara kita.



Kongres kali ini bukan saja dilihat penting kerana melalui medium sebelum inilah lahirnya Mara, Bank Bumiputera, Tabung Haji dan puluhan agensi lain untuk kepentingan kaum Bumiputera, tetapi juga sebab kali ini ia diadakan di ketika negara dipimpin oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.



Menerajui sebuah Kerajaan Perpaduan (Madani) di mana turut ada DAP di dalamnya, mahu tidak mahu, KEB2024 akan menjadi penantian semua pihak.



Semua mahu melihat sejauh mana keutuhan jiwa Anwar dalam menjaga kepentingan Bumiputera di sebalik parti berbilang kaum yang menjadi tunjang utama dalam kerajaan.

Sebab itu, agaknya kali ini, selain semua parti politik - kerajaan dan pembangkang - yang akan turut dijemput, juga akan melibatkan penyertaan masyarakat Cina dan India.



Sikap terbuka tangani masalah ekonomi



Menurut Perdana Menteri kerajaan mengambil sikap terbuka dalam menangani beberapa isu bersama walaupun kongres itu memberikan tumpuan kepada masalah dihadapi Bumiputera.



"Pendekatan kita dalam KEB2024 lebih inklusif. Maknanya kita mahu penyertaan daripada masyarakat Cina dan India.



"Saya harap ACCIM (Gabungan Dewan Perniagaan dan Dewan Perindustrian Cina Malaysia) bersedia berbincang kerana pendekatan kita inklusif.



"Maknanya dalam membicarakan ekonomi bumiputera, ada isu-isu SME (Perusahaan Kecil dan Sederhana) atau kelompok India miskin akan kita tangani bersama, jadi pendekatan agak berbeza," katanya.



Beberapa hari sebelum ini pula, ketika mempengerusikan Mesyuarat Majlis Ekonomi Bumiputera (MEB) Bilangan 1 Tahun 2024 yang dihadiri sama ahli-ahli MEB terdiri daripada Timbalan-timbalan Perdana Menteri, Menteri-menteri yang berkaitan dan wakil-wakil daripada Syarikat-syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan (GLIC), Anwar jelas memperlihatkan kesungguhan mahu melihat kejayaannya.



Pendekatan baharu agenda Bumiputera



Beliau berkata, mesyuarat telah meneliti kertas cadangan hala tuju agenda Bumiputera yang turut mengambil kira input-input yang diperolehi daripada sesi libat urus yang telah diadakan.



Katanya, perbincangan turut menyentuh persediaan penganjuran KEB 2024, waima tekankan supaya kongres itu nanti perlu menjadi pengerak kepada perspektif serta pendekatan baharu ke atas kerangka agenda Bumiputera.



"Ianya perlu melangkau sudut pandang sempit kononnya agenda ini hanya untuk kepentingan Bumiputera, justeru pertumbuhan baharu Bumiputera perlu dikenalpasti selain daripada pengumpulan data yang bersistematik.



"Kerajaan Madani bertekad untuk memperkukuhkan agenda Bumiputera yang akan memberi manfaat kepada pelbagai lapisan masyarakat dan bukan hanya kumpulan tertentu sahaja," tambah beliau.



Bersama kita jayakan KEB2024 ini sambil menanti, barangkali ada hasil yang luar biasa daripadanya.

______________________________________________________________________________

Penulis juga adalah Ketua Penerangan Wanita KEADILAN Pusat

 

No comments: