Daripada enam Ahli Parlimen Bersatu yang tidak
setia kepada parti, lalu mengalihkan sokongan kepada Perdana Menteri, Anwar
Ibrahim, Ahli Parlimen Bukit Gantang, Syed Abu Hussin Syed Abdul Fasal adalah
yang paling menonjol sekali berbanding habg lain-lain.
Walhal, beliau bukanlah yang pertama sekali
daripada segi keberanian untuk mengalih sokongan meninggalkan kubang lama
kepada kubang baru kerajaan perpaduan.
Yang pertama berani mengumumkan sokongan
kepada Anwar ialah Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar), kemudian
diikuti Suhaili Abdul Rahman (Labuan), seterusnya Zahari Kechik (Jeli), Mohd
Azizi Abu Naim (Gua Musang), selepas itu barulah Syed Abu Hussin dan yang
keenam ialah Zulkafperi Hanapi (Tanjung Karang).
Ertinya, Syed Abu Hussin hanyalah di kedudukan
yang kelima berani mengalih sokongan.
Tetapi, di antara semua yang lain, beliaulah
yang dilihat selalu berada di depan di ketika rakan yang berlima itu barangkali
hanya sibuk menjaga kawasan bersama dana peruntukan yang baru diperolehi.
Bukan saja di acara-acara yang dihadiri
Perdana Menteri wajahnya selalu kelihatan, bahkan Syed Abu Hussin juga sudah di
depan meninggalkan lima rakannya lain yang mengalih sokongan itu daripada segi
beroleh jawatan.
Beliau kini adalah Pengerusi Jawatankuasa
Menangani Harga Makanan dan Kos Sara Hidup, sebuah jawatankuasa yang berada di
bawah Majlis Tindakan Sara Hidup Negara atau NACCOL.
Tak tahulah sama ada jawatan tersebut ada gaji
dan elaun, tetapi nampaknya beliau semacam ada kuasa yang boleh dikira hebat
juga.
Selain sebelum ini mengumumkan akan membantu
kerajaan mengurangkan beban kehidupan dengan cara memperbanyakkan lagi pesta
jualan murah barangan keperluan harian di seluruh negara, dua tiga hari lalu
Syed Abu Hussin juga mengumumkan pengeluaran kampit beras baru yang dikenali
Beras Putih Malaysia Madani.
Beliau turut mengumumkan harga sekampit bagi
berat 10 kilogram ialah RM30.00.
Ehh…hebat juga rupanya jadi Pengerusi
Jawatankuasa Menangani Harga Makanan dan Kos Sara Hidup ini, sampai boleh umum
harga beras, sedangkan kelazimannya itu adalah bidang kerja Menteri Pertanian
dan Keterjaminan Makanan yang menterinya kini adalah Mohamad Sabu.
Pengumuman beliau itu bagaimanapun mendapat
kecaman di media sosial kerana harganya dilihat lebih tinggi berbanding kampit
beras tempatan yang ada sebelum ini yang biasanya dijual hanya RM26 sekampit.
Lalu dihenyak lebih ramai, kenapa beras madani
lebih mahal daripada beras tak madani?
Ada pula yang berkata, apakah ketiadaan beras
di pasaran sebelum ini disebabkan strategi ingin mewujudkan kampit baru yang
dijenamakan sebagai Beras Putih Malaysia Madani?
Yang nakal pula terus menerjah, siapa agaknya
dapat projek Beras Putih Malaysia Madani ini?
Berikutan kekalutan yang makin meluas itu,
Anwar pagi tadi ketika berucap di program Jualan Termurah Madani di Bandar
Perda, Bukit Mertajam, Seberang Perai berkata, keputusan muktamad harga beras
akan diumumkan pada minggu depan.
Katanya, mesyuarat NACCOL yang
dipengerusikannya akan diadakan lebih awal pada minggu depan bagi membuat
keputusan berkenaan harga beras itu.
Ohh..rupanya belum mesyuarat lagi, tetapi
kenapa Pengerusi Jawatankuasa Menangani Harga Makanan dan Kos Sara Hidup sudah
boleh umumkan harganya?
Pelik ni?
Walaupun Anwar sendiri mengumumkan penetapan
harga beras hanya akan diumumkan minggu depan, namun Beras putih Malaysia
Madani bungkusan 10 kilogram telah pun dijual pada harga RM30 di program Jualan
Termurah Madani di Bandar Perda, Bukit Mertajam, Seberang Perai Tengah hari ini
yang dihadiri Perdana Menteri sendiri.
Dilaporkan lebih 1,000 kampit beras telah
berjaya dijual pada program hari ini.
Macam mana tu, harga sebenar belum dimuktamad,
tetapi harga yang diumum oleh Syed Abu Hussin sudah pun diguna pakai?
Apa pun, inilah kelebihan Syed Abu Hussin yang
bukan saja tiada pada rakan-rakannya yang berlima itu, malah juga mungkin tiada
pada kebanyakan pemimpin dalam PH.
Sekadar rekod tambahan, Syed Abu Hussin menang
PRU14 atas tiket BN, kemudian melompat menyertai Bersatu, lalu bertanding atas
tiket PN pada PRU15 lalu.
Pada PRU16 akan datang, tidak mustahil beliau
akan mempertahankan sekali lagi kerusi Parlimen Bukit Gantang, kali ini atas
tiket PH pula.
Ahli politik yang ada warna warni sebegini
tidak ramai dalam negara kita, apatah lagi dengan kebanyakan parti sudah mula
mengetatkan peraturan masing-masing sama ada untuk acara lompat tinggi, lompat
jauh atau lompat bergalah.
Untuk itu, sebelum tamat penggal Parlimen
PRU15 ini, ada baiknya juga jika Anwar yang terkenal dengan baik hati dan
bersifat pemaaf tahap dewa dapat menjadikan Syed Abu Hussin sebagai menteri di
mana-mana kementerian.
Sudah dua kali melompat, kalau ada jawatan
menteri, barangkali lebih mudah untuk beliau menang bagi kali ketiga atas tiket
parti yang berbeza jika bertanding sekali lagi di Bukit Gantang nanti. – ShahbudinHusin
16/02/2024.