Kerajaan Negeri digesa kurangkan risiko banjir secara holistik


 

Oleh: Azuan Ab Rahman



Kerajaan Negeri Kelantan digesa mengadakan sidang DUN khas diadakan bagi membincangkan pelan perparitan “holistik” untuk mengurangkan risiko banjir di negeri itu dalam jangka panjang.



Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) Kelantan dalam satu kenyataan berkata, mangsa banjir mengeluh tentang masalah perparitan dan saliran di negeri pimpinan Pas itu.



Oleh itu Kerajaan Negeri dan pembangkang di DUN Kelantan perlu mengambil langkah proaktif untuk mengemuka pelan mengurangkan risiko banjir.



"Di lapangan, ABIM Kelantan temui beberapa longkang dan parit tidak bersambung walaupun hanya dihalang satu lorong jalan, dan beberapa kawasan digenangi air termenung mengambil masa agak lama untuk surut walaupun cuaca cerah selama beberapa hari," kata Naib Yang Dipertuanya, Saifulnizam Muhamad.



Gelombang banjir yang melanda lima negeri minggu lalu mencatatkan angka melebihi 27,000 orang dipindahkan di seluruh negara.



Kelantan merupakan negeri paling terjejas dengan mencatatkan jumlah mangsa paling tinggi melibatkan tujuh jajahan terjejas banjir iaitu Pasir Mas, Tanah Merah, Kota Bharu, Gua Musang, Machang, Kuala Krai dan Jeli.



Berdasarkan laporan, lebih 21,000 penduduk telah ditempatkan di 68 Pusat Pemindahan Sementara.



Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam lawatannya bagi meninjau situasi banjir di negeri itu mengumumkan lima projek baharu bernilai RM910.5 juta bagi mengatasi masalah banjir yang melanda negeri Kelantan saban tahun.



Saifulnizam sementara itu menegaskan, isu menangani banjir sepatutnya menjadi agenda utama pentadbiran kerajaan Kelantan.



Justeru beliau menggesa pembangkang di peringkat negeri memainkan peranan mereka mendesak perkara itu dibincangkan.

"Seandainya sidang DUN khas tidak dianjurkan Kerajaan Negeri, pembangkang mestilah menggesa ianya diadakan agar fungsi pembangkang dapat dizahirkan," tambahnya.



Sebagai rekod, DUN Kelantan didominasi Perikatan Nasional (PN), yang menduduki 43 daripada 45 kerusi. manakala Barisan Nasional dan Pakatan Harapan masing-masing satu kerusi.

 

No comments: