Hampir 500,000 daftar PADU, sentiasa pantau keselamatan sistem


 

Menteri Ekonomi Rafizi Ramli memberitahu setakat pagi ini seramai 456,136 orang pengguna telah mendaftar ke dalam sistem Pangkalan Data Utama (PADU) yang dilancarkan kelmarin.



Beliau berkata daripada jumlah itu, seramai 230,443 orang telah membuat proses Kenali Pelanggan Elektronik (e-KYC) dengan sebanyak 61 peratus berjaya membuat pengesahan.



"Proses e-KYC boleh dilaksanakan sepenuhnya dalam tempoh kurang 5 minit. Secara umumnya, individu yang memakai cermin mata tidak menyebabkan masalah untuk melaksanakan e-KYC.



"Pengguna perlu mengemas kini sistem pengoperasian telefon bimbit masing-masing dengan versi terkini, mengosongkan cache serta memastikan pelayar (browser) tidak berada dalam tetapan private," ujarnya dalam ciapan di aplikasi X hari ini.



Rafizi berkata sekiranya pengguna masih menghadapi masalah berkaitan e-KYC, mereka boleh hadir ke kaunter PADU yang terdekat.



Katanya senarai lokasi kaunter PADU di seluruh negara boleh didapati di pautan padu.gov.my/hubungi/lokasi dan klik ‘Senarai kaunter’.



Jelas beliau mekanisme kawalan maklumat yang dibangunkan dalam sistem PADU memerlukan individu membuat perakuan dan pengesahan maklumat yang telah dikemas kini setelah menjalani proses pengesahan identiti melalui e-KYC.



"Setiap maklumat yang telah diperakukan tidak boleh dipinda oleh individu kecuali dengan membuat pelaporan aduan menerusi Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA) bagi membolehkan tindakan dilaksanakan oleh pentadbir PADU.



Mengenai masalah kemaskini jenis pendapatan kata beliau, pengguna perlu mengemaskini maklumat pekerjaan dan seterusnya boleh mengemaskini variabel pendapatan.



"Bagi kategori penganggur, pengguna boleh mengemaskini bantuan atau sumbangan serta memasukkan amaun bantuan atau sumbangan yang diterima sama ada daripada agensi kerajaan atau ahli keluarga bagi menampung kehidupan," ujarnya.



Rafizi berkata, berkaitan aduan kelemahan pengendalian pengaturan aplikasi rangkaian (API) membabitkan kata laluan yang menyebabkan risiko keselamatan, pasukan pembangunan sistem telah berjaya melaksanakan pembaikan, peningkatan dan pengukuhan dalam tempoh satu jam.



Insiden ini telah diselesaikan pada pukul 9.15 malam kelmarin, katanya.



"Kami melihat isu keselamatan siber sebagai isu yang serius dan akan sentiasa memantau dan menguji sistem kami untuk memastikan tiada kecacatan atau kelemahan pada sistem," katanya.



Dalam pada itu katanya, bagi pengguna yang mendaftar PADU menggunakan komputer/komputer riba, apabila sampai ke peringkat e-KYC, pengguna akan diberi satu QR code.



"Pengguna perlu scan QR ini menggunakan telefon pintar untuk proses mengambil gambar kad pengenalan (depan dan belakang) serta gambar swafoto.



"Ketika ini terdapat pengguna yang menghadapi masalah ketika melakukan proses tersebut dan mendapat ‘error code 100’.



"Pengguna perlu mengemas kini sistem pengoperasian telefon bimbit masing-masing dengan versi terkini, mengosongkan cache serta memastikan pelayar (browser) tidak berada dalam tetapan private," jelasnya.

 

No comments: