UNTUK ELAK ISU BUKAN MELAYU BOLEH JADI PM TERUS DITIMBULKAN, UMNO PERLU DIKUATKAN SEMULA


Ramai orang Melayu tiba-tiba melompat, malah ada yang sentap, lalu membuat laporan polis terhadap kenyataan yang dibuat veteran DAP, Lim Kit Siang berkaitan orang bukan Melayu boleh menjadi Perdana Menteri.

Membaca tajuk semata-mata atau tidak membawa secara keseluruhan apa yang diperkatakan Kit Siang itu, tidak dinafikan ia memang mudah menyentap “jiwa melayu” sebahagian besar orang-orang Melayu di negara ini.

Bagi sebahagian besar orang Melayu, oleh kerana Malaysia ini asalnya ialah Tanah Melayu, maka jawatan Perdana Menteri itu mesti selamanya dipegang oleh orang Melayu.

Tetapi tidak begitu sebenarnya.

Pertama, ini kerana kebolehmungkinan orang bukan Melayu menjadi adalah sesuatu yang dibenarkan dan tertulis dalam Perlembagaan Negara.

Untuk menjadi Perdana Menteri, ia tidak disebut wajib orang Melayu, sebaliknya syarat wajibnya ialah mesti daripada kalangan Ahli Parlimen yang mendapat sokongan majoriti Ahli-Ahli Parlimen.

Yang kedua, dalam kenyataan Kit Siang itu, beliau sebetulnya sebutkan juga bahawa hakikat orang bukan Melayu boleh menjadi Perdana Menteri adalah satu “kenyataan fakta” dan bukan satu “kenyataan realiti”. 

Ini bermakna, meskipun Kit Siang menyatakan orang bukan Melayu boleh menjadi Perdana Menteri berdasarkan fakta dalam Perlembagaan Negara, beliau dalam masa yang sama sedar realitinya jawatan itu adalah milik orang Melayu berdasarkan kedudukan Melayu sebagai majoriti di negara ini.

Dengan itu, kenapa mesti ada yang sentap dan buat laporan polis terhadap Kit Siang?

Kenapa tiada pula yang nak buat laporan polis terhadap Perlembagaan Negara?

Begitu pun, oleh kerana perkara itu sudah tertulis begitu dalam Perlembagaan Negara, isu bukan Melayu boleh menjadi Perdana Menteri ini pasti akan terus berkumandang dan dikumandangkan daripada semasa ke semasa selepas ini.

Ia tidak akan terhenti dan tidak boleh dihentikan sebagaimana mudahnya mematikan enjin kereta.

Dalam konteks kerajaan perpaduan yang memerintah negara ketika ini, kerjasama antara parti-parti yang ada sekarang adalah konsep terbaik untuk menyerlahkan wajah Malaysia yang sebenar.

Semua kaum yang mewakili parti-parti tertentu mempunyai peranan masing-masing dalam kerajaan.

Jika konsep ini berjaya diberi kefahaman yang lebih mendalam kepada rakyat, tidak mustahil kerajaan perpaduan ini kek memerintah negara ini untuk beberapa PRU akan datang lagi.

PN pula bukanlah gabungan yang sesuai untuk negara ini kerana mereka terlalu ekstrem dalam memperjuangkan politik Melayu dan Islam, selain tidak disokong sewajarnya oleh kelompok bukan Melayu.

Cuma, untuk mengelakkan agar isu bukan Melayu boleh menjadi Perdana Menteri dapat disenyapkan, adalah penting untuk memastikan UMNO memenangi lebih banyak lagi kerusi bermula pada PRU16 akan datang.

Sekarang UMNO hanya ada 26 kerusi Parlimen dan jika angka itu boleh ditingkatkan kepada sekurang-kurangnya 40 kerusi dalam PRU16 dan PRU-PRU seterusnya, ancaman siapa harus menduduki kerusi Perdana Menteri dengan sendirinya tidak berbangkit lagi.

Selain UMNO perlu memperkuatkan dirinya secara dalaman untuk memenangi lebih banyak kerusi itu, PH yang terangkum di dalamnya PKR, DAP dan Amanah yang terhutang budi atas kesediaan UMNO memungkinkan Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri , mesti juga sama-sama memainkan peranan itu demi kestabilan serta keamanan masa depan negara yang lebih berpanjangan.

Berkurang kerusi UMNO, bukan saja menyebabkan jawatan Perdana Menteri mudah dijadikan isu, malah kesan langsungnya ialah kedudukan orang Melayu sebagai kaum teras negara ini juga akan sentiasa diperkotak-katikkan. – ShahbudinHusin 14/12/2023.




No comments: